Anda di sini

Cuba dapat tembaga, lelaki kena letupan

Advertisement
Anggota polis IPD Bintulu memeriksa tempat kejadian hari ini.
Anggota polis IPD Bintulu memeriksa tempat kejadian hari ini.

BINTULU: Seorang lelaki berumur 27 tahun mengalami kecederaan apabila wayar elektrik yang dibakarnya untuk mendapatkan tembaga, mengalami letupan kecil dalam kejadian di Kampung Sebiew, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, kejadian letupan kecil itu berlaku pada jam 7.25 malam tadi mengakibatkan lelaki yang merupakan penganggur juga penduduk tempatan mengalami kecederaan selepas bahan itu terkena pada badannya.

 "Mangsa mengalami kecederaan melecur di kedua-dua kaki, tangan, leher dan muka. 

“Siasatan mendapati tiada sebarang unsur khianat atau jenayah dalam kes tersebut dan siasatan juga masih dijalankan," ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, polis Bintulu menerima maklumat awal mengenai satu kejadian letupan yang berlaku di Kampung Sebiew tersebut pada petang semalam yang mana seorang lelaki tercedera dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan. 

"Sebaik menerima maklumat itu, satu pasukan siasatan polis Bintulu bersama Unit Bom Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu telah bergegas ke tempat kejadian untuk mengesahkan maklumat. 

"Lokasi kejadian adalah di belakang rumah sewa yang didiami mangsa," katanya, sambil menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian yang disebabkan pembakaran wayar elektrik tersebut.

Advertisement