Anda di sini

QES sasar penyenaraian di Pasaran ACE menjelang suku pertama 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: QES Group Bhd (QES), pembuat perkakasan pengukuran, pengujian dan pemeriksaan, menyasarkan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang suku pertama (Q1) 2018.

Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan itu berkata ia telah menandatangani perjanjian penaja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd (M&A Securities) sempena proses penawaran awam permulaan (IPO),

IPO akan melibatkan terbitan 151.66 juta saham baharu QES mewakili 20 peratus modal saham yang diperbesar.

Sebahagian besar daripada keuntungan IPO akan digunakan untuk perbelanjaan modal bagi membeli peralatan demonstrasi untuk bahagian pengedaran, perkakasan, aksesori dan peralatan baharu teknologi maklumat untuk kegunaan operasi.

Keuntungan juga akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, pembangunan tiga produk utama dalam bahagian perkilangan serta keperluan modal kerja.

Pengarah Urusan/Presiden QES, Chew Ne Weng berkata proses penyenaraian itu akan membolehkan QES memperkukuh kedudukannya dalam industri peralatan pengukuran serta pengujian.

Sebagai syarikat tersenarai, kami berharap dapat meningkatkan lagi keyakinan pelabur, pemegang kepentingan dan pelanggan ke atas kami, dan pada masa yang sama meneruskan usaha untuk meningkatkan nilai jangka panjang syarikat menerusi penyediaan produk dan perkhidmatan berkualiti dalam bahagian pengedaran dan perkilangan secara menyeluruh,” katanya.

Daripada 151.66 juta saham baharu itu, 37.92 juta akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia menerusi pengundian, 9.27 juta saham baharu kepada para pengarah dan pekerja yang layak, manakala baki 104.48 juta saham disediakan sebagai tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Sebagai sebahagian daripada proses penyenaraian itu, pemegang saham syarikat yang sedia ada akan ditawarkan 75.83 juta saham untuk dijual kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi tawaran saham persendirian. — Bernama

Advertisement