Anda di sini

Hafiz & Effy dapat anak lelaki sehari sebelum Tahun Baharu 2018

Advertisement

RASANYA masih belum terlambat bagi Utusan Borneo mengucapkan tahniah kepada penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip yang baharu sahaja mendapat anak lelaki pada Ahad lepas.

Hafiz, 27, berkongsi berita gembira yang isterinya, Nureffy Jesreel Abdullah, 25, telah selamat melahirkan cahaya mata lelaki jam 8.06 pagi pada 31 Disember 2017 menerusi Instagram peribadinya dengan memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan kaki kanan bayi sulungnya itu.

Bersama-sama gambar itu, Hafiz turut meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan kelahiran cahaya matanya itu.

Assalamualaikum semua, pertama sekali saya bersyukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaNya, cahaya mata yang amat bermakna dalam hidup dan hadiah pembuka tirai untuk tahun 2018 buat hambanya yang lemah ini.

Jutaan terima kasih kepada isteri saya yang cantik Nureffy Jesreel kerana memberikan saya momen yang paling indah dan harta yang tidak ternilai untuk tahun yang hebat ini.

Terima kasih kepada ibu bapa kami, keluarga dan juga sahabat yang sanggup datang memberikan sokongan moral buat kami berdua.

Tidak lupa juga kepada semua yang mendoakan kami berdua dan terima kasih juga diucapkan doktor dan kakak-kakak jururawat yang memberikan khidmat terbaik menyambut kelahiran anak sulung saya,” tulisnya.

Perkongsian Hafiz itu menerima lebih 35 ribu ‘like’ selain hampir 800 komen netizen dan juga rakan artis yang mengucapkan tahniah.

Antara rakan artis yang mengucapkan tahniah kepada pasangan itu adalah penyanyi IR Radzi dan Marsha Milan Londoh.

Hafiz dan Nureffy berkahwin pada 14 Mei 2016 dalam sebuah majlis yang diadakan di kediaman Nureffy di Kuching, Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement