Anda di sini

FGV dapat pensijilan P&C RSPO bagi lapan kompleks kilang

Advertisement

Turut berpeluang tembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU), Amerika Utara

KUALA LUMPUR: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menerima Pensijilan Prinsip dan Kriteria (P&C) Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) bagi lapan kompleks kilangnya pada akhir 2017.

 Dalam satu kenyataan semalam, FGV berkata lapan kompleks kilang berkenaan dijangka menghasilkan lebih 200,000 tan Minyak Sawit Lestari Diperakui (CSPO) dan hampir 60,000 tan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK).

 “Selain daripada manfaat premium yang ditawarkan, FGV berpeluang menembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Utara, serta pelanggan yang mahu produk minyak sawit yang diperakui.

 “Ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun ini, terima kasih kepada para petugas FGV yang komited dan telah turut serta di dalam program transformasi kelestarian yang kita mulakan sejak Mei 2016,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dalam kenyataan itu.

 Menurut kenyataan tersebut, pada Mei 2016, walaupun kekal sebagai anggota RSPO, FGV menarik diri secara sukarela semua pensijilan P&C RSPO kompleks kilangnya dan mengakui terdapatnya isu-isu buruh dan sosial sepanjang rantaian bekalan yang perlu ditangani.

 Zakaria berkata kumpulan menyasarkan untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan kompleks kilang menjelang Mac dan lebih daripada 30 kompleks kilang yang akan diaudit oleh RSPO dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang akhir Disember.

 “Salah satu daripada strategi utama kami adalah pengenalan kepada Polisi Kelestarian Kumpulan (GSP) yang digunakan di seluruh operasi, anak syarikat dan kontraktor kami untuk menangani jurang dan mewujudkan rantaian bekalan yang lebih inklusif.

 “GSP memberi penekanan yang lebih besar untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam cara yang lestari dan inklusif,” kata beliau dan menambah FGV merancang untuk mengesahkan pensijilan kesemua 70 kompleks kilang dengan keperluan RSPO dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang 2021. — Bernama

Advertisement