Anda di sini

Bas terjunam di tebing curam di Peru, 48 maut

Advertisement
 Anggota penyelamat menjalankan tugas mereka di mana sebuah bas mendarat dalam keadaan terbalik di atas batu selepas berlanggar dengan trak dan terjunam di tebing curam tepi laut di lebuh raya utara Lima, Peru, kelmarin. — Gambar Reuters
TRAGIS: Anggota penyelamat menjalankan tugas mereka di mana sebuah bas mendarat dalam keadaan terbalik di atas batu selepas berlanggar dengan trak dan terjunam di tebing curam tepi laut di lebuh raya utara Lima, Peru, kelmarin. — Gambar Reuters

LIMA: Sebuah bas terjunam di sebuah tebing curam tepi laut di Peru kelmarin, dan membunuh sekurang-kurangnya 48 orang selepas perlanggaran dengan sebuah trak di satu bahagian jalan berbahaya yang dikenali sebagai “selekoh syaitan”, kata pegawai.

Bas itu dalam perjalanan dari Huacho, 130 kilometer ke utara ibu negara, ke Lima bersama 55 penumpang dan dua kru ketika ia terbabas dari jalan sekitar tengah hari.

Ia menjunam 100 meter dan mendarat dalam keadaan terbalik di atas batu di pinggir laut.

Insiden itu mengorbankan “sekurang-kurangnya 48 mangsa”, kenyataan dalam lama sesawang Kementerian Dalam Negeri menyebut, yang meminda bilangan awal seramai 36 orang.

Usaha untuk mengeluarkan mayat dari kenderaan yang terbalik itu ditangguhkan menjelang senja kerana arus sudah pasang dan sampai pada bas, kata polis.

Sebuah helikopter polis menurunkan beberapa pekerja penyelamat ke bangkai bas biru itu manakala pekerja lain membuat perjalanan berbahaya menuruni tebing curam dengan bantuan tali.

Tentera laut menghantar sebuah bot rondaan untuk membantu penyelamat yang cuba mengeluarkan semua orang sebelum arus pasang.

Beberapa orang terselamat, tetapi kebanyakan orang dalam bas terbabit maut.

Pengarah Hospital Alcides Carrion di El Callao, Maria Elena Aguilar berkata kemudahannya menerima lima pesakit dengan pelbagai kecederaan.

Seorang lagi mangsa selamat telah dibawa ke hospital lain.

Nahas itu berlaku di sebatang lebuh raya pesisiran pantai kira-kira 45 kilometer ke utara ibu negara Lima, kata ketua divisyen rondaan lebuh raya polis Kolonel Dino Escudero.

Lebuh raya Pasamayo di mana tragedi itu berlaku hanya digunakan oleh trak dan bas, kerana kereta menggunakan laluan berlainan.

Ia merupakan jalan me-nelusuri laut yang berbahaya di mana kabus kerap berlaku dan kelembapan tinggi boleh menyebabkan jalan tersebut licin.

Pemandu bas berkenaan mempunyai banyak pengalaman dan bekerja bersama seorang pembantu, kata Luis Martinez selaku wakil Transportes San Martin de Porres, yang memiliki bas terbabit.

Martinez tidak dapat me-ngesahkan sama ada pemandu maut atau cedera, tetapi menambah bas itu menjalani pemeriksaan enjin sebelum ia berlepas dari Huacho.

Lebih 2,500 orang maut dalam kemalangan lalulintas di Peru pada 2016, menurut perangkaan rasmi. — AFP

Advertisement