Anda di sini

PLUS belanja RM1 bilion pada 2016 untuk selenggara lebuh raya

Advertisement

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd membelanjakan RM1 bilion pada 2016 untuk menyelenggara 5,000 kilometer lebuh raya di negara ini yang merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk memastikan keselamatan pengguna.

Ia merupakan tanggungjawab yang besar apabila mengambil kira bahawa syarikat konsesi lebuh raya terbesar di negara ini turut menyelenggara kawasan di sepanjang lebuh raya yang meliputi 7,000 cerun dan benteng, 500 jambatan, dua terowong - Menora-Meru sepanjang 800 meter selari sebelah-menyebelah), 114 persimpangan bertingkat dan 24 kawasan servis istirahat  24 jam sehari.

Dalam mengutamakan keselamatan jalan raya untuk pengguna, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia, Zakaria Ahmad Zabidi berkata sepanjang tahun lepas sahaja, syarikat itu menjalankan lebih 10,000 pemeriksaan dan pemantauan aset di kesemua lebuh  rayanya.

Kira-kira 1,000 anggota terlibat dalam tugas besar bagi menyelenggara lebuh raya sepanjang 5,000 kilometer yang bersamaan dengan jarak antara Kuala Lumpur dan Beijing,

Para petugas terdiri daripada jurutera dan eksekutif teknikal yang menjalankan pengurusan penyelenggaraan, termasuk peralatan mekanikal dan elektrik di sepanjang lebuh raya serta pencahayaan jalan, katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, lebuh raya Plus yang telah beroprasi lebih 30 tahun dianggap sebagai aset matang, memerlukan pelaksanaan banyak inisiatif penyelenggaraan bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik.

Kami juga telah melabur sejumlah besar wang untuk memelihara turapan permukaan jalan , yang merupakan aset utama kami,” katanya.

Selain kereta penumpang dan kenderaan ringan, kenderaan berat sahaja menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah lalu lintas dan merupakan penyumbang  utama kepada kemerosotan muka jalan.

Jumlah pelaburan dan bajet diperuntukkan khusus untuk memelihara aset jalan raya akibat lori lebih muatan yang menggunakan lebuh raya Utara-Selatan.

Bagi mengekalkan lebuh raya, beliau berkata PLUS mengamalkan strategi penyelenggaraan tiga cabang yang termasuk penyelenggaraan rutin, rawatan dan pencegahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyelenggaraan rutin merujuk kepada kerja-kerja berulang atau berkala seperti memotong rumput dan pembersihan longkang.

Strategi kedua meliputi penyelenggaraan pembaikan, termasuk pembaikan struktur permukaan jalan berturap, cerun dan jambatan bagi mengekalkan kesesuaian perkhidmatan aset serta pengukuhan struktur.

Sementara itu, penyelenggaraan pencegahan bertujuan untuk meminimumkan kecacatan dan kemerosotan dan merupakan penyelenggaraan yang dirancang untuk memastikan lebuh raya dipulihara, dirancang dan kekalkan lebih lama daripada jangka hayatnya.

Kami memastikan penyelenggaraan lebuh raya yang cemerlang selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa dan pematuhan syarat ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Bagi memastikan perjalanan yang selamat, lancar dan selesa bagi pengguna, PLUS membuat pelaburan besar dalam membangunkan sistem pengawasan lalu lintas yang canggih yang dikenali sebagai Pusat Pemantauan Lalu Lintas (TMC).

Fungsi utama Pusat ini ialah mengumpul dan menyebarkan maklumat trafik masa nyata untuk pengurusan trafik yang cekap serta menyelaraskan bantuan untuk pengguna lebuh raya yang memerlukannya.

Pusat TMC menerima kira-kira 200,000 panggilan setiap tahun.

PLUS juga membangunkan Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Lebuh Raya Menyeluruh atau TEMAN - pangkalan data yang merangkumi maklumat mengenai inventori, keadaan aset dan rekod penyelenggaraan dan bertindak sebagai alat sokongan bagi memudahkan pengendalian pengurusan aktiviti penyelenggaraan lebuh raya.

Ia merupakan kunci  kepada penyelenggaraan aset kami,” katanya.

PLUS juga membangunkan Sistem Pemantauan Masa Nyata untuk menyediakan maklumat masa nyata menerusi instrumen di lokasi di 90 stesen atau 79 lokasi strategik di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.

Hasilnya, pasukan teknikal PLUS akan mengetahui kedudukan jalan raya supaya siasatan awal dan penyelenggaraan rutin dapat dijalankan.

Beliau juga berkata pemeriksaan robot pintar pembentung telah dibangunkan untuk memeriksa 5,000 pembetung secara remote, separuh daripadanya kecil dan tidak boleh diakses oleh pemeriksa bagi memastikan strukturnya masih kukuh dan dalam keadaan baik.

PLUS juga meneroka penggunaan dron untuk pemantauan trafik menerusi udara semasa musim perayaan dan memantau cerun tinggi dan bukit.

Beliau berkata air bertakung merupakan musuh  utama jurutera dalam pembinaan dan operasi jalan dan lebuh raya, yang boleh menimbulkan risiko seperti kemalangan jalan raya. —Bernama

Advertisement