Anda di sini

Perodua sasar tingkatkan bahagian TIV sebanyak 3-4%

Advertisement

Unjuran 2018 turut didorong sambutan positif terhadap Myvi baharu

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yakin dapat meningkatkan bahagiannya daripada jumlah keluaran industri (TIV) sebanyak 3.0-4.0 peratus tahun ini susulan pelancaran model Myvi baharu pada November lepas.

 Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata unjuran bagi 2018 itu turut didorong oleh sambutan positif terhadap Myvi baharu itu.

 “Walaupun berdepan pelbagai cabaran pada tahun lepas termasuk kekurangan bilangan pembeli pertama akibat penambahbaikan aspek pengangkutan termasuk kewujudan perkhidmatan Grab dan Uber, kami masih mampu menanganinya dengan melaksanakan pelbagai usaha terbabit.

 “Ini termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Grab membabitkan tawaran promosi khas dengan syarikat itu,” katanya dalam sesi wawancara dengan stesen BFM di sini, semalam.

 Myvi baharu yang dijual dalam lima varian dengan kapasiti enjin 1.3 L dan 1.5 L, turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan serba maju.

 Malah, jumlah tempahannya mencecah lebih 28,000 unit setakat Disember 2017.

 “Kami sudah melepasi sasaran jualan untuk Myvi baharu itu selain telah menyerahkan sebanyak 8,000 unit setakat ini. Kami turut bekerja lebih masa untuk menyelesaikan baki tempahan yang ada,” katanya.

 Perodua sebelum ini menetapkan sasaran awal jualan sebanyak 18,000 unit bagi tiga bulan pertama selepas pelancaran, namun ia terbukti melepasi paras 50 peratus pada Disember lepas.

 Aminar berkata Perodua juga berjaya mengekalkan paras kemampuan penanda aras iaitu RM60,000 yang merupakan antara kekuatannya.

 “Kami juga mahukan rakyat Malaysia membuat pilihan berdasarkan aspek lain seperti perkhidmatan selepas jualan serta ciri-ciri keselamatan,” katanya.

 Perodua yang juga pengeluar kereta tempatan terbesar di negara ini, menguasai 35 peratus bahagian pasaran ketika ini.

 “Apa yang boleh saya katakan adalah bahagian domestik kami agak matang dalam sebuah pasaran yang tepu,” katanya.

 Dominasi Perodua juga boleh dilihat menerusi aspek jualan dengan satu daripada setiap tiga kenderaan baharu terjual pada 2017 adalah keluaran syarikat itu.

 Diminta mengulas kemungkinan Perodua mengeluarkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Aminar berkata pihaknya masih dalam proses meneliti aspek demografi pasaran dan trend semasa.

 “Pengeluaran SUV itu masih dipertimbangkan. Terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan kerana kami masih dalam proses melaksanakan program transformasi,” katanya.

 Pesaing Perodua di peringkat tempatan, Proton Holdings Bhd menerusi rakan strategik asingnya, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), sebelum ini mengumumkan bahawa model SUV pertamanya, Boyue, bakal memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini. — Bernama

Advertisement