Anda di sini

MGA: Harga LNG dijangka kompetitif menjelang 2019

Advertisement

Mekanisme Akses Pihak Ketiga tarik penyertaan ramai pemain industri

KUALA LUMPUR: Harga gas asli cecair (LNG) di pasaran tempatan dijangka menjadi lebih kompetitif menjelang 2019 dengan jangkaan penyertaan lebih ramai pemain industri susulan pengenalan mekanisme Akses Pihak Ketiga (TPA) tahun lepas, kata Persatuan Gas Malaysia (MGA).

Setiausaha Agungnya Rosman Hamzah berkata TPA, yang diperkenalkan pada Januari 2017, bertujuan untuk membukakan pasaran bekalan gas kepada pihak ketiga termasuk syarikat asing untuk menjual gas kepada mana-mana pengguna di Malaysia bagi asas ‘willing buyer-willing seller’ (kedua-dua pembeli dan penjual saling bersetuju).

Dengan lebih ramai pemain pasaran terlibat, mereka dapat meningkatkan daya saing dalam industri dan justeru itu menjadikan harga LNG lebih rendah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan meskipun jangkaan harga gas rendah, pergerakan harga LNG masih lagi terikat kepada pergerakan harga minyak mentah.

Ketika ini, LNG negara dibekalkan oleh Petronas Gas Bhd dan Gas Malaysia Bhd dan pihak-pihak yang berminat menyertai TPA boleh memohon lesen daripada Suruhanjaya Tenaga.

Setakat ini, kami melihat beberapa syarikat multinasional, yang juga merupakan ahli-ahli MGA, memohon lesen daripada Suruhanajaya Tenaga,” katanya.

Mengenai harga gas asli terkawal yang meningkat sebanyak RM1.50 untuk setiap juta unit termal British (mmBtu) setiap enam bulan, Rosman berkata langkah itu adalah bertujuan untuk menjadikan harga tempatan setara dengan paras harga LNG antarabangsa.

Pada masa yang sama, ia akan mengurangkan pergantungan kepada subsidi kerajaan, katanya.

Ketika ini, harga LNG kita (RM28.05 untuk setiap mmBtu) masih belum mencapai paras harga pasaran antarabangsa (RM30 untuk setiap mmBtu), dan kita perlu membawakan tarif asas lagi dekat dengan harga pasaran.

Tetapi melihat kepada pergerakan semasa harga gas dan minyak mentah, kami menjangka menjelang 2019, harga gas akan mencecah paras harga pasaran, dan harapnya, kerajaan akan dapat mengumumkan bahawa kita juga akan mempunyai akses penuh (pada masa itu),” katanya.

Sementara itu, kerajaan masih menyediakan lebih kurang 30 peratus subsidi gas kepada sektor kuasa.

Suruhanjaya Tenaga mengumumkan pada Disember 2016 bahawa tarif asas untuk setiap mmBtu telah ditetapkan pada RM26.71 bagi tempoh antara Januari-Jun 2017; RM28.05 bagi Julai-Disember 2017; RM30.90 bagi Januari-Jun 2018; RM31.92 bagi Julai-Disember 2018; RM32.69 bagi Januari- Jun 2019; dan RM32.74 bagi Julai-Disember 2019.

Ditanya mengenai impak ke atas pengeluar yang kelaknya akan memindahkan kenaikan kadar kepada pengguna, Rosman berkata beliau tidak menjangkakan sebarang kesan ketara.

Ini disebabkan LNG digunakan kebanyakannya oleh pengguna perindustrian seperti pengeluar sarung tangan, dengan kebanyakan produk mereka dieksport ke luar negara.

Jadi kesan langsung kepada pengguna tempatan tidak begitu besar,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya 12,000 isi rumah di Malaysia menggunakan LNG bagi tujuan memasak.

Selebihnya menggunakan gas petroleum cecair (LPG), yang disubsidikan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya.

Ditanya sama ada negara akan berdepan masalah lebihan bekalan LNG pada  masa depan, dengan bermulanya operasi komersial Terminal Pengegasan Semula Gas Petronas (RGT) 2 di Pengerang, Johor pada Januari 2018, Rosman tidak melihatnya menjadi satu isu bagi tempoh jangka panjang.

Malahan, ia boleh menjana kadar penggunaan LNG lebih tinggi di negara ini, kerana kawasan tanpa paip LNG, seperti di Kelantan, merupakan kawasan yang berpotensi tinggi yang boleh dimanfaatkan. 

Sebagai contoh, mereka boleh memasang prasarana paip di kawasan yang kurang diberi perhatian dan menyertai dalam ekosistem pengedaran bagi meningkatkan penggunaan gas asli di sana,” katanya. 

Justeru, beliau percaya prospek pertumbuhan penggunaan LNG masih lagi besar di negara ini. — Bernama

Advertisement