Anda di sini

Bermukun, adat Melayu Sarawak yang tidak lapuk ditelan zaman

Advertisement
 Salah satu pasangan bertandak dalam kategori bermukun berkumpulan.
BERTANDAK: Salah satu pasangan bertandak dalam kategori bermukun berkumpulan.

BARU-baru ini Utusan Borneo telah menerbitkan sebuah artikel berkaitan dengan minat bergendang dan usaha mempertahankannya. Artikel itu juga mendedahkan pengalaman dan pencapaian membanggakan beberapa orang peminat seni bergendang atau bermukun di utara negeri ini.

Dalam artikel ini sekali lagi Utusan Borneo menyajikan tulisan tentang seni bermukun yang popular di Sarawak ini. Bagaimanapun, kali ini ia ditulis berdasarkan perspektif berbeza daripada beberapa segi.

Bermukun sebenarnya dikenali sebagai salah satu aktiviti hiburan ketika berlangsungnya majlis perkahwinan dan masih dipraktikkan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak.

Ia kebiasaannya dilangsungkan pada malam sebelum hari persandingan mempelai dan kini turut dimainkan jika ada keraian atau majlis keramaian umum di seluruh Sarawak.

Malah, adat serta tradisi ini terus hidup ketika arus kemodenan pantas menghakis seni budaya lain di Sarawak dan kesanggupan sesetengah pihak yang mengadakan keramaian khas untuk bermukun ini akan terus menyuburkan irama asli sejak berzaman.

Terbaharu, Karnival Bermukun Mukah 2017 yang diadakan selama tiga hari dari 14 Disember hingga 16 Disember 2017 lalu dilihat salah satu daripada usaha kuat mengangkat martabat bermukun dalam kalangan masyarakat umum khasnya generasi baharu.

SEJARAH BERMUKUN

Tidak dapat dinyatakan tarikh sebenar adat bermukun ini bermula kerana usianya mungkin terlalu lama.

Bagaimanapun, terdapat elemen-elemen unik di dalamnya yang turut membolehkan muzik asli bergenerasi lamanya ini terus kekal hidup dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Menurut salah seorang penggiat bermukun, Sapian Morni, 47, bermukun sebenarnya berasal daripada salah satu aktiviti ritual masyarakat Melayu pada satu zaman dahulu.

Minat mendalam beliau terhadap tradisi ini telah membuatkan beliau mengkaji dan menyelidiki asal-usul mengenai bermukun atau bergendang.

Asal-usul bermukun ini adalah salah satu daripada ritual perubatan dalam kalangan masyarakat khususnya Melayu di Sarawak pada satu ketika dahulu,” katanya kepada Utusan Borneo.

Bagaimanapun, ia akhirnya terus menjadi popular dan berubah mengikut keadaan persekitaran dan kesesuaian zaman.

Sapian menerangkan, ritual diadakan untuk mengubati pesakit yang sedang menderita di mana ketika itu agama Islam belum lagi disebarkan.

Sebelum kedatangan Islam, bermukun hanya dilakukan untuk mengubati pesakit dan ketika itu alat muzik yang digunakan adalah gendang sahaja,” jelasnya.

Menerangkan dengan lebih lanjut, bermukun dengan gendang dan berpantun dilakukan pada awal kewujudannya sehingga lewat 1700-an.

Setelah kedatangan Islam pula, beliau percaya pada awal 1800-an, elemen alat muzik ditambah dengan bunyian gambus.

Kemerduan bermukun semakin jelas dengan wujudnya gambus dengan pengaruh Islam di dalamnya kerana masyarakat Melayu pada ketika itu majoritinya telah memeluk Islam.

Daripada aktiviti ritual perubatan, maka ia turut berubah dengan kedatangan Islam iaitu menjadi salah satu hiburan dalam kalangan masyarakat Melayu ketika keramaian.

Sehinggalah suatu ketika pada 1800-an juga, elemen biola turut dimasukkan ke dalam aktiviti bermukun dan seterusnya menyaksikan akordian menjadi penambah ceria kepada muzik bermukun.

Malah, kini ada yang menggantikan bunyian akordian dengan keyboard atau organ demi alunan muzik yang lebih lunak.

 Kumpulan Warisan Budaya dinobat johan pada Karnival Bermukun Mukah 2017 kategori berkumpulan.
KAMI JUARA: Kumpulan Warisan Budaya dinobat johan pada Karnival Bermukun Mukah 2017 kategori berkumpulan.

SYARAT BERMUKUN

Elemen berpantun adalah pelengkap dan satu kemestian kepada aktiviti bermukun dan alat-alat muzik seperti yang dinyatakan di atas adalah elemen tambahan sahaja. 

Bermukun terdiri daripada empat orang ‘mak gendang’ atau ‘seh gendang’ dan mesti dimainkan oleh golongan wanita.

Gendang mesti dimainkan oleh wanita sahaja dan ia tidak boleh dimainkan oleh lelaki untuk bermukun,” ulas Sapian.

Sebaliknya pula untuk ‘bertandak’, ia hanya boleh dilakukan oleh golongan lelaki dan tidak boleh disertai oleh wanita. Biasanya bertandak disertai oleh enam lelaki yang akan beraksi secara berpasangan.

Tidak pula dinyatakan mengapa peraturan berkenaan ditetapkan, tetapi itulah syarat bermukun yang harus diikuti.

BERMUKUN ASALNYA DI SARAWAK

Kerana minat yang mendalam terhadap seni warisan budaya nenek moyangnya ini, Sapian membuat sedikit penyelidikan mengenai asal-usul bermukun.

Bermukun memang berasal dari Sarawak, kerana saya telah membuat pengembaraan ke beberapa buah tempat yang dikatakan asal bermukun tetapi tidak menemui sebarang bukti kewujudannya di kawasan itu,” katanya.

Untuk mengenal pasti akan kebenaran asal-usul bermukun ini, beliau telah mengembara bukan sahaja ke negara Brunei, tetapi turut mengembara ke Sumatera, Sambas dan juga Johor.

Bagaimanapun, hasil daripada kajiannya tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa bermukun asalnya dari tempat-tempat dinyatakan tadi.

Pendapat peribadi saya bermukun asalnya di Sarawak dan oleh sebab itu ia hanya masih dan kekal di Sarawak sehingga kini,” kata beliau.

Beliau melihat warisan ini adalah suatu kekayaan daripada nenek moyang khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang salah jika turut dimainkan serta diikut oleh masyarakat lain.

Semua bangsa sudah tahu bermukun, bukan sahaja Melayu bahkan Melanau, Iban, Cina dan mana-mana etnik di Sarawak menyukainya,” jelasnya.

Beliau melontarkan pandangan jauh ke atas warisan ini dengan berharap lebih banyak promosi dilakukan khususnya kepada pelancong asing dan juga generasi muda masa kini.

Diharap tradisi dan warisan budaya ini dapat dikekalkan sampai bila-bila dan tidak akan lenyap ditelan zaman,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau turut berharap elemen pendapat yang tidak berasas tentang bermukun dan cerita tokok tambah tidak dijadikan pegangan dalam kalangan masyarakat.

  • oleh
  • Advertisement