Anda di sini

Soalan Merubah Dunia, Bukan Jawapan!

Advertisement

Berusaha untuk bertanya soalan dan bukan mencari jawapan pada tahun 2018.

Tatkala tirai 2017 bakal dilabuhkan dan 2018 menjengah tiba, saya bertanya kepada diri sendiri apakah satu perkara yang akan saya lakukan berbeza pada tahun hadapan.

Minda saya berlegar-legar tentang pelbagai perkara – daripada cara menguruskan perniagaan dengan lebih berkesan, kepada menjadi kreatif dalam inovasi produk. Saya juga teringat akan meluangkan masa yang lebih dengan para pekerja dan tidak lupa untuk menjadi suami dan ayah yang lebih baik.

Tetapi, dalam pada itu, saya tersedar tentang pengajaran terpenting yang saya pelajari sepanjang 2017 iaitu Soalan, bukan Jawapan, yang Merubah dunia!

Ketika itu saya sedar bahawa itulah perubahan terbesar yang harus saya lakukan pada tahun hadapan – saya mesti berubah daripada menjadi seorang yang ‘hanya memberikan jawapan’ kepada seorang yang ‘lebih banyak bertanya’.

Apakah maksudnya ini?

Ramai pemimpin menggunakan 80 peratus daripada masa mereka dalam aktiviti memberitahu atau menyampaikan dan 20 peratus masa mereka dalam aktiviti bertanya. Pemimpin yang hebat melakukan sebaliknya, 80 peratus daripada masanya digunakan untuk bertanya soalan yang tepat dan hanya 20 peratus bagi memberikan jawapan.

Mengapa soalan adalah kunci kejayaan

Dari semasa ke semasa, kita akan melalui keadaan yang sukar dan mengecewakan. Sudah tentu kita akan mencari jawapan dan penyelesaian tetapi kita secara tidak sengaja mencipta halangan dan bukannya mencari jalan.

Sebenarnya, kita akhirnya mengitar semula jawapan yang langsung tidak membantu dan acap kali digunakan. Untuk mengatasi situasi ini, kita perlu bertanya soalan baharu. Hasil akan tercapai atas dorongan soalan.

Indira Gandhi pernah berkata,

“KUASA BERTANYA ADALAH ASAS KEPADA PERKEMBANGAN MANUSIA.”

Oprah Winfrey menjadi jutawan dan selebriti menerusi caranya yang unik dalam berhubung dengan orang ramai. Bagaimana dia melakukan ini? Dengan bertanya soalan-soalan yang hebat.

Semua pemimpin yang hebat menggunakan kuasa bertanya soalan untuk berjaya.

Kejayaan berpihak pada yang bertanya soalan

Ya, kajian menunjukkan bahawa cara anda bertanya soalan ketika ditemu duga (sepatutnya anda yang mempunyai jawapannya!) memberi kesan berat dan dapat menentukan sama ada anda akan diambil bekerja ataupun tidak.

Keupayaan anda menjawab soalan dengan baik ketika ditemu duga hanyalah sebahagian kecil daripada penentu kejayaan anda diambil bekerja. Soalan yang anda tanyakan kepada penemu duga membantu mereka menguji kualiti pemikiran dan kemahiran menilai anda, seterusnya menimbulkan tanggapan yang baik sama ada anda proaktif, bijak dan yakin.

Bertanya soalan yang betul adalah kunci segala-galanya dalam hidup.

Hakim atau pelajar

Beberapa tahun dahulu, saya berkesempatan bertemu Dr. Marilee Adams, penulis buku ‘Change Your Questions, Change Your Life’ (‘Ubah Soalan Anda, Ubah Kehidupan Anda’).

  1. mengesahkan kepercayaan saya bahawa soalan adalah teras kepada cara kita berkelakuan, berfikir dan berhubung dengan orang lain. Dia menghabiskan sepanjang waktu petang menerangkan kepada saya tentang QuestionThinking (PemikiranBertanya). Katanya, setiap proses pemikiran manusia dan apa yang akhirnya kita lakukan terkandung dalam bentuk soalan.

Tetapi dia menambah bahawa terdapat dua jenis soalan yang ditanya. Salah satunya ialah penetapan minda Judger (hakim) dan yang satu lagi ialah penetapan minda Learner (pelajar). Kita semua mempunyai kedua-dua penetapan minda ini dan kita sering menggunakannya bersilih ganti.

Apabila kita berada dalam sesuatu keadaan, Judger memberi reaksi dan bertanya soalan seperti:

  • Mengapa saya asyik gagal?
  • Mengapa mereka begitu bodoh?
  • Apa yang tak kena dengan mereka/saya?
  • Kenapa peduli?
  • Salah siapa?

Dengan bertanya soalan-soalan tersebut dalam minda, kita akan membentuk jawapan. Apabila kita menyuarakanya, ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

Penetapan minda Learner pula menanyakan set soalan yang berlainan. Ia termasuk:

  • Apa yang berlaku?
  • Apa yang saya mahukan?
  • Apakah fakta-faktanya?
  • Apakah andaian yang saya buat?
  • Apa yang boleh saya boleh pelajari?
  • Saya bertanggungjawab untuk apa?
  • Apakah kemungkinan dan pilihan yang saya ada?
  • Apa yang terbaik boleh saya lakukan sekarang?

Dengan menanyakan soalan-soalan ini, kita mendapatkan jawapannya. Soalan-soalan ini selalunya membawa kita kepada pilihan yang memerlukan pemikiran teliti yang bertumpu kepada penyelesaian manakala Judger akhirnya akan mengambil langkah reaksionis automatik dan selalunya bersifat menuduh.

Dr. Adams percaya bahawa kita semua mempunyai pilihan untuk bertukar daripada mod Judger kepada mod Learner dengan bertanya soalan perubahan. Ini adalah pilihan yang kita ada, dan dia menggelarkan kerangkanya sebagai The Choice Map/Peta Pilihan.

Kebanyakan daripada kita tidak sedar yang diri kita dibentuk oleh soalan yang kita tanyakan. Jika soalan yang ditanya daripada minda yang terbuka atau mencuba untuk belajar, jawapan yang kita akan dapat adalah optimistik, memberi harapan dan penuh dengan kemungkinan. Lain pula jika soalan ditanya daripada reaksi negatif, jawapan yang diterima akan membawa kepada kegagalan, tekanan dan pilihan yang terhad.

Jadi adakah kita selalu berada dalam penetapan minda Judger atau Learner? Marilah kita berusaha berada dalam minda Learner pada tahun 2018.

Bertanya soalan yang betul

Jadi, di mana kita bermula? Apakah soalan-soalan betul yang harus ditanya setiap hari? Dr. Adams menyenaraikan 12 soalan yang membantunya apabila dia menghadapi kesulitan, merasa kecewa dan apabila ingin memacu perubahan. Berikut adalah soalan-soalan tersebut.

  1. Apakah yang saya inginkan?
  2. Apakah pilihan yang saya ada?
  3. Apakah andaian yang saya buat?
  4. Apakah tanggungjawab saya?
  5. Apakah cara lain yang boleh saya fikirkan tentang ini?
  6. Apakah yang dirasa, difikir dan ingini orang lain?
  7. Apakah yang saya tertinggal atau elakkan?
  8. Apakah yang boleh saya pelajari daripada orang atau situasi ini; daripada kesilapan atau kegagalan atau kejayaan ini?
  9. Apakah langkah-langkah yang paling masuk akal?
  10. Apakah soalan yang patut saya tanya (diri sendiri atau orang lain)?
  11. Bagaimanakah saya boleh menukar ini menjadi situasi menang-sama-menang?
  12. Apakah kemungkinan yang ada?

Anda boleh menggunakan soalan-soalan tersebut dan pasang niat bahawa pada tahun hadapan, anda akan sentiasa menanyakan soalan ‘Learner’ dan bukannya soalan ‘Judger’yang lebih bersifat reaksionis.

Akhir kata

Voltaire pernah berkata,

“HAKIMI SESEORANG ITU ATAS SOALAN-SOALAN YANG DIKEMUKAKANNYA, BUKAN JAWAPANNYA.”

Kita semua terlalu sibuk menjawab soalan dan mencari apa sahaja alasan hinggakan kita lupa salah satu aspek penting tentang siapa yang kita telah menjadi dan siapa yang kita boleh jadi.

Mula bertanya soalan. Lebih penting lagi, tanya soalan Learner. Lebih banyak soalan yang ditanya, kemungkinan besar 2018 akan menjadi tahun yang membawa lebih kebahagiaan, keriangan dan kemakmuran.

Dengan ini, kami di Leaderonomics mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada anda semua. Moga-moga tahun baru ini bakal membawa rahmat kepada kita semua.

  Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Beliau boleh dihubungi melalui [email protected], Facebook dan Twitter.

Sumber