Anda di sini

Protes antirejim Iran tumpahkan darah

Advertisement
 Gambar yang diperolehi dari media sosial memaparkan aksi penunjuk perasaan membakar tong sampah semasa mengadakan protes antikerajaan di Tehran, kelmarin. — Gambar Reuters
BANTAHAN: Gambar yang diperolehi dari media sosial memaparkan aksi penunjuk perasaan membakar tong sampah semasa mengadakan protes antikerajaan di Tehran, kelmarin. — Gambar Reuters

Dua terbunuh di bandar barat Dorud tatkala tunjuk perasaan menular

TEHRAN: Dua maut malam kelmarin di bandar barat Dorud ketika protes antikerajaan merebak ke seluruh Iran, menurut timbalan gabenor wilayah semalam.

Pada malam Sabtu, protes haram diadakan di Dorud dan sejumlah penduduk berarak di jalan raya sebagai respons kepada seruan daripada kumpulan penghasut, sekali gus mencetuskan pertempuran.

Malangnya dalam pertempuran ini, dua warga Dorud terbunuh,” kata timbalan gabenor wilayah Lorestan Habibollah Khojastehpour kepada televisyen rasmi.

Beliau tidak menjelaskan lanjut tetapi mendakwa pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

Klip video dilaporkan dirakamkan di Dorud menunjukkan beberapa mangsa berlumuran darah diusung orang ramai tersebar meluas dalam media sosial tetapi tidak dapat disahkan.

Saluran Telegram Pengawal Revolusi menyalahkan kematian tersebut sebagai berpunca daripada sekumpulan lelaki membawa senjata pemburuan dan ketenteraan yang memasuki kawasan protes sebelum mulai melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai dan bangunan kerajaan.

Ia berkata, dua maut dan enam cedera.

Dalam pada itu di Tehran, penunjuk perasaan menyerbu dewan bandar kelmarin tatkala protes memasuki malam ketiga walaupun kerajaan memberi amaran untuk tidak mengadakan perhimpunan haram, selain bertindak menutup talian Internet mudah alih.

Video tidak disahkan dalam media sosial kelihatan menunjukkan ribuan berarak di kota-kota barat Khorramabad, Zanjan dan Ahvaz.

Khabar angin liar, diburukkan sekatan perjalanan dan penutupan hampir menyeluruh media oleh agensi rasmi, menyukarkan usaha mengesahkan laporan.

Pihak berkuasa dipercayai bertindak balas dengan memotong akses Internet mudah alih dan rangkaian utama terganggu sekurang-kurangnya di Tehran sejurus sebelum tengah malam, kata pemberita AFP.

Beberapa agensi berita memberi amaran Telegram, khidmat media sosial paling popular di negara itu, mungkin akan ditutup selepas Menteri Komunikasi Mohammad-Javad Azari Jahromi menuduh saluran popular Amadnews menghasut pemberontakan bersenjata.

Sementara itu, agensi berita konservatif Mehr memaparkan video penunjuk perasaan menyerang sebuah dewan bandar di tengah Tehran, menterbalikkan sebuah kereta polis dan membakar bendera Iran.

Huru-hara berlaku sebelum itu di sekitar universiti di ibu negara apabila ratusan orang memenuhi jalanan, menyekat trafik dan melaungkan slogan menentang rejim.

Namun pihak berkuasa juga boleh bergantung kepada pertunjukan kekuatan, di mana ratusan membalas demonstrasi dengan menguasai pintu masuk universiti sambil melaung “Kematian kepada penghasut”.

Pihak berkuasa juga bernasib baik kerana rapat umum tahunan untuk memperingati kekalahan pergerakan protes besar terakhir pada 2009 dijadual pagi kelmarin membawa ribuan penyokong rejim ke jalanan di seluruh negara.

Kami menggesa semua orang yang menerima seruan untuk menunjuk perasaan ini agar tidak menyertai perhimpunan haram ini kerana ia akan menimbulkan masalah kepada diri mereka sendiri dan warga lain,” kata Menteri Dalam Negeri Abdolrahman Rahmani Fazli.

Protes bermula di bandar raya kedua Mashhad Khamis lepas bagi membantah kos sara hidup tinggi, tetapi pantas bertukar kepada tentangan antirejim.

Malah laungan menyokong monarki yang digulingkan revolusi Islam pada 1979 juga kedengaran tatkala protes lain mengkritik rejim kerana menyokong Palestin serta pergerakan serantau lain tetapi tidak menangani masalah domestik.

Saluran berita kerajaan IRINN mendakwa tidak dibenarkan membuat liputan protes yang menular termasuk di Qom dan Kermanshah.

Musuh sekali lagi mahu mewujudkan komplot baharu serta menggunakan media sosial dan isu ekonomi untuk mencetuskan hasutan baharu,” kata ulama terkemuka Ayatollah Mohsen Araki kepada orang ramai di Tehran, menurut agensi berita konservatif Fars.

Pegawai lain turut menyalahkan pihak luar.

Walaupun berhak membantah, penunjuk perasaan mesti tahu bagaimana mereka sedang diarah,” tulis Massoumeh Ebtekar, naib presiden hal ehwal wanita, dalam Twitter.

Beliau menunjukkan imej Twitter dari Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi yang menyokong protes di Mashhad. – AFP

Advertisement