Anda di sini

44 pegawai kanan kerajaan Terengganu bertukar jawatan

Advertisement

Sebahagian besar mereka dinaikkan pangkat berkuat kuasa hari ini

KUALA TERENGGANU: Berikutan persaraan wajib tiga pentadbir tertinggi negeri Terengganu yang berkuat kuasa semalam, seramai 44 pegawai kanan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat dalam rombakan serta pertukaran jawatan di jabatan yang terlibat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pertukaran jawatan 44 pegawai kanan berkenaan yang sebahagian besarnya dinaikkan pangkat berkuat kuasa mulai hari ini.

Katanya, tiga pentadbir yang bersara adalah Pengarah Tanah dan Galian negeri Datuk Mohd Akil Mat, Pegawai Daerah Kuala Terengganu Datuk Mohd Yasin Awang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Mohd Zulkifli Abu Bakar.

Kita harap dengan perubahan atau rombakan struktur ini akan memberi satu lagi kekuatan kepada pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan slogan Transformasi Terengganu Baharu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri Dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman di sini.

Antara pertukaran jawatan yang terlibat ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim ditukarkan ke jawatan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu manakala jawatan lama beliau diganti oleh Pegawai Daerah atau Pentadbiran Tanah Besut Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Jawatan  Datuk Bandar MBKT diambil alih oleh Samiun Salleh yang sebelum ini merupakan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, dan Pegawai Daerah atau Pentadbiran Tanah Hulu Terengganu Azmi Razik kini menjadi Pegawai Daerah Kuala Terengganu.

Pegawai Daerah atau Pentadbiran Tanah Marang Zainal Abidin Mohamed ditukarkan ke Hulu Terengganu dengan jawatan yang sama, selain Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun Shahidan Embok bertukar ke jawatan Pegawai Daerah atau Pentadbiran Tanah Besut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu Mat Azmi Arshad mengambil jawatan Pegawai  Daerah dan Pentadbir Tanah Marang, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu Osman A. Bakar bertukar jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu Wan Mohd Anuar Wan Endut pula ditukarkan ke Hulu Terengganu sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Sementara itu, Yang Dipertua Daerah Marang Rozali Salleh telah bertukar ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan Setiausaha MBKT Zulkafeli Omar sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu.

Selain itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman Anuar Awang ditukarkan sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Marang manakala Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Wan Mohd Zaki Wan Abdullah ditukarkan ke jawatan Setiausaha MBKT.

Turut bertukar jawatan ialah Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu Ariffin Abdullah sebagai  Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Nerus dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun Mohamad A. Rahman @ Othman kini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerosakan lif di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang dikatakan agak mengecewakan dan menyebabkan kesukaran kepada masyarakat dan pihak hospital, Ahmad Razif berkata beliau akan mengadakan lawatan ke hospital berkenaan bagi mengenal pasti mengapa daripada empat unit lif hanya satu lif sahaja yang  berfungsi.

Pada masa yang sama beliau ingin mengadakan perjumpaan bersama pihak kesihatan HSNZ, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak yang terlibat bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tersebut agar kebajikan masyarakat dapat dijaga.

Ahmad Razif juga berkata satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan (SUK) akan diwujudkan bagi memastikan setiap 60 ‘touchpoint’ dalam pembentangan Bajet 2018 dilaksanakan  mengikut masa yang ditetapkan. — Bernama

Advertisement