Anda di sini

Bangunan baharu bawa sinar kepada SK Kampung Buda

Advertisement

Projek CSR Lebuhraya Borneo Utara bernilai RM2.8 juta sahut seruan kerajaan bina semula sekolah daif, usang di Sarawak

BETONG: Sesi persekolahan 2018 pasti membawa sinar buat 73 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda, Spaoh dekat sini apabila bangunan baharu sekolah terbabit beroperasi secara rasminya, Selasa ini.

Penyerahan sekolah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada satu majlis ringkas di sini kelmarin.

Terdahulu, syarikat Lebuhraya Borneo Utara (LBU) menyerahkan sekolah siap kepada kerajaan negeri yang diwakili oleh Uggah.

Sekolah tersebut dibina oleh LBU dengan kos RM2.8 juta menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), sekali gus menyahut saranan kerajaan negeri kepada sektor swasta untuk membantu membina semula sekolah-sekolah daif dan usang di Sarawak.

Di bawah program CSR khas, LBU dan semua kontraktor utama Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak akan membina semula 12 sekolah daif di negeri ini.

SK Kampung Buda mendapat perhatian media tempatan dan nasional apabila kejadian tanah runtuh pada awal 8 Jun 2016 menyebabkan sekolah usang itu rosak teruk.

Struktur bangunan lama termasuk blok bilik darjah, blok prasekolah, bilik guru, surau, tandas, rumah pengawal, bilik sains, bilik buku teks dan pusat sumber runtuh ke dalam sungai.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu, murid-murid terpaksa menghadiri kelas yang dilaksana menggunakan dewan komuniti berdekatan.

SK Kampung Buda baharu yang dibina oleh LBU menggunakan Sistem Pembinaan Industri (IBS) mempunyai dua blok moden dengan enam bilik darjah, satu bilik sains, pentadbiran dan tandas, selain disediakan dengan kemudahan padang terbuka bagi murid-murid melakukan aktiviti sukan.

Uggah turut menyatakan penghargaannya kepada LBU kerana mengambil inisiatif membina semula SK Kampung Buda untuk membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif LBU Ir Safuani Abdul Hamid berkata LBU bangga diberi peluang oleh kerajaan negeri untuk menyumbang semula kepada masyarakat melalui usaha terbabit.

Ini adalah sebahagian daripada program CSR kami untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutamanya murid-murid sekolah ini supaya mereka mempunyai persekitaran kondusif untuk belajar,” katanya.

Advertisement