Anda di sini

11 dibunuh di gereja, kedai Kristian Mesir

Advertisement
 Penduduk menghadiri majlis pengebumian mangsa serangan Gereja Saint Mina di sebuah gereja di selatan Kaherah, kelmarin. — Gambar AFP
BERKABUNG: Penduduk menghadiri majlis pengebumian mangsa serangan Gereja Saint Mina di sebuah gereja di selatan Kaherah, kelmarin. — Gambar AFP

Serangan bersenjata di pinggir Kaherah menyaksikan suspek cedera ketika ditangkap

KAHERAH: Seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 11 orang kelmarin dalam serangan ke atas sebuah gereja Koptik Ortodoks dan sebuah kedai milik orang Kristian dekat Kaherah sebelum dia dicederakan dan ditangkap, kata Kementerian Dalam Negeri Mesir dan pegawai gereja.

 Kumpulan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita agensi Amaq, tetapi ia tidak memberikan sebarang bukti bagi dakwaan tersebut.

 Polis telah mempertingkatkan langkah keselamatan di sekitar gereja menjelang perayaan Natal Koptik pada 7 Januari, dengan mengerahkan anggota polis di luar tempat ibadat Kristian dan memasang pengesan logam di beberapa gereja besar.

 Puak militan Islam mengaku melancarkan beberapa serangan ke atas masyarakat minoriti Kristian yang besar di Mesir sejak beberapa tahun lalu, termasuk dua serangan bom pada Ahad Palma pada April lalu dan satu letupan di katedral Koptik terbesar di Kaherah pada Disember 2016 yang mengorbankan 28 orang.

 Laporan awal oleh sumber keselamatan dan media kerajaan menyebut sekurang-kurangnya dua penyerang terbabit dalam serangan kelmarin, di mana seorang ditembak mati dan seorang lagi berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

 Kementerian Dalam Negeri tidak menjelaskan sebab bagi laporan yang berbeza itu.

 Pihak Gereja Koptik berkata, lelaki bersenjata terbabit mulanya menembak sebuah kedai milik orang Kristian empat kilometer dari gereja dan membunuh dua orang sebelum pergi ke gereja Mar Mina di Helwan, bandar pinggir selatan Kaherah.

 Kementerian Dalam Negeri berkata, suspek melepaskan tembakan di pintu masuk gereja dan cuba melontar satu alat letupan.

 Lelaki bersenjata itu membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk seorang lelaki bersenjata, di gereja tersebut, menurut laporan Gereja Koptik dan Kementerian Dalam Negeri.

 Pihak gereja berkata, seorang wanita muda kemudian mati akibat kecederaan yang dialami, menjadikan jumlah kematian orang awam di gereja itu mencecah lapan orang.

 Kementerian berkata, pasukan keselamatan segera menangani penyerang dan menangkapnya selepas dia cedera.

 “Langkah undang-undang sudah diambil,” tambah kementerian tanpa menjelaskan lanjut.

 Penyiasat sudah mengenal pasti identiti lelaki bersenjata terbabit, katanya, dan menambah dia melancarkan beberapa serangan sejak tahun lepas.

 Mesir juga sedang bergelut dengan pemberontakan IS yang berdarah di wilayah Sinai Utara.

 Kementerian Kesihatan berkata, lima cedera termasuk dua wanita yang menurutnya dalam keadaan serius.

 Acara pengebumian beramai- ramai lapan mangsa yang terkorban diadakan petang kelmarin di Gereja Perawan Maria di Helwan.

 Ketua Gereja Koptik Pope Tawadros II mengetuai majlis perkabungan mangsa.

 Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi turut menyampaikan takziah kepada keluarga terbabit dan mengarahkan pasukan keselamatan untuk meningkatkan langkah keselamatan di tapak sensitif, pejabatnya menyebut dalam satu kenyataan.

 Pendakwa raya Kaherah berkata, siasatan telah dilancarkan ke atas insiden itu.

 “Serangan bermula pada jam 10.30 pagi dan berlaku selama lebih 15 minit.

 “Terdapat lebih daripada seorang penyerang,” kata Mohammed Hussein Abdelhadi, yang tinggal dekat gereja.

 Seorang saksi yang enggan memberi namanya berkata, seorang anggota polis terbunuh apabila cuba menutup pintu pagar gereja untuk menghalang kemasukan lelaki bersenjata terbabit.

 — Reuters

Advertisement