Anda di sini

Wanita ditangkap cuba seludup lebih 1kg kokain di dalam perut

Advertisement
 Gambar serahan Polis Diraja Thai menunjukkan pemeriksaan sinaran-x mendedahkan lebih 1 kilogram kokain             di dalam perut seorang wanita yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket lewat malam Rabu. — Gambar AFP
HASIL RAMPASAN: Gambar serahan Polis Diraja Thai menunjukkan pemeriksaan sinaran-x mendedahkan lebih 1 kilogram kokain di dalam perut seorang wanita yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket lewat malam Rabu. — Gambar AFP

BANGKOK: Seorang wanita berusia 27 tahun dari Ivory Coast telah ditangkap di Pulau Phuket di Thailand selepas pemeriksaan di lapangan terbang menjumpai lebih satu kilogram kokain di dalam perutnya dibungkus dalam puluhan paket kecil.

Wanita itu dihentikan oleh pegawai lewat malam Rabu lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket selepas dia mendarat dalam penerbangan dari Doha.

Pemeriksaan sinaran-x mendedahkan lebih 60 paket kecil di dalam perutnya, diisi dengan 1.2 kilogram kokain, menurut Sirinya Sitdhichai selaku setiausaha agung Pe-jabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand.

Dadah itu kemungkinan besar untuk pelanggan kaya di Bangkok, ujarnya.

“Tidak seperti metamfetamina, kokain dan ais (met kristal) adalah untuk kumpulan pelanggan kaya yang sangat khusus,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata pengedar dadah yang berpangkalan di Afrika Barat secara rutin mengupah wanita Afrika atau Asia sebagai “keldai” untuk menyeludup narkotik ke dalam Thailand, sebuah negara dengan hubungan udara dan sempadan mudah dicerobohi yang menjadikannya tempat transit popular bagi semua jenis barang seludup.

Penyeludup sering terbang ke lapangan terbang lebih kecil di luar Bangkok dan kemudian menggunakan pengangkutan darat untuk menjual dadah di ibu negara, ujarnya.

Thailand, sebuah negara dengan kira-kira 68 juta penduduk, mempunyai populasi penjara keenam terbesar di dunia disebabkan oleh undang-undang dadah yang keras dan dikuatkuasakan lebih sedekad lalu tetapi gagal untuk menghapuskan perdagangan narkotik atau mengurangkan kadar ke-tagihan.

Lebih 70 peratus daripada banduan di negara itu dipenjara atas kesalahan berkaitan dadah.

Nisbah adalah jauh lebih tinggi di kalangan 39,000 banduan wanita di Thailand, yang memenjara lebih ramai wanita per kapita berbanding mana-mana negara lain.

Walau bagaimanapun, sementara kurier dan penyeludup peringkat rendah lain ditangkap secara rutin, pihak berkuasa menghadapi masalah untuk menjatuhkan raja dadah dan menghapus-kan jaringan penyeludupan mereka.

Dadah paling popular di negara itu adalah met yang diambil dalam bentuk pil bersalut kafeina dikenali sebagai “yaba”, yang bermakna “ubat gila”.

Pil itu, dan versi yang lebih berbisa dan tulen dikenali sebagai “ais”, dibuat dalam makmal dadah dalam Zon Segi Tiga Emas di mana utara Thailand bertemu dengan Myanmar dan Laos. — AFP

Advertisement