Anda di sini

Cuaca dingin Artik bawa maut di Kanada, AS

Advertisement
 Penduduk memakai penutup hidung dan mulut ketika keluar dari rumah pada hari yang dingin luar biasa di Quebec City, Kanada kelmarin. — Gambar AFP
TERLALU SEJUK: Penduduk memakai penutup hidung dan mulut ketika keluar dari rumah pada hari yang dingin luar biasa di Quebec City, Kanada kelmarin. — Gambar AFP

Sebahagian besar Kanada dan utara AS alami keadaan sejuk luar biasa, kebanyakkan jauh di bawah sifar

OTTAWA: Seorang lelaki gelandangan mati kesejukan di sebuah perhentian bas di Ohio, manakala penduduk di Pennsylvania menggunakan jentolak untuk mengalihkan salji kelmarin, selepas cuaca dingin Artik menyelubungi kebanyakan tempat di Kanada dan utara Amerika Syarikat (AS).

 Di Kanada, amaran cuaca ekstrem dikeluarkan bagi puluhan komuniti di seluruh negara itu, termasuk wilayah ramai penduduk Ontario dan Quebec.

 Di AS, seorang lelaki mati kesejukan di sebuah perhentian bas di pusat Cincinnati, Ohio, kata media tempatan, yang memetik polis dan badan amal gelandangan.

 S ementara Toronto melaporkan suhu -15 darjah Celsius dan Ottawa -25 darjah Celsius, tempat paling sejuk di Kanada mencatat -42.8 darjah Celsius di Armstrong, Ontario, menurut Environment Canada.

 “Amaran kesejukan ekstrem dikeluarkan apabila suhu sangat sejuk atau kesejukan angin mewujudkan risiko lebih buruk kepada kesihatan seperti reput fros dan hipotermia,” kata agensi kerajaan itu.

 Suhu berada 10 hingga 20 darjah di bawah suhu biasa musim ini, kata pakar meteorologi Alexandre Parent bersama Environment Canada.

 Keadaan sejuk diramalkan berterusan sehingga awal Januari, katanya.

 “Dalam ingatan saya, saya tidak pernah melihat cuaca sejuk yang begitu lama dalam kawasan yang begitu luas,” kata Parent.

 Ribut kencang selaju 120 kilometer sejam yang dikaitkan dengan suhu rendah menyebabkan hampir 160,000 kediaman di wilayah timur Nova Scotia, hampir satu pertiga pelanggan syarikat tenaga elektrik, terputus bekalan elektrik, kata pegawai.

 Di AS, suhu bawah sifar amat dingin dicatatkan di tempat seperti Duluth, Minnesota (-37.7 darjah Celsius) pada Selasa lepas, dan Minot, Dakota Utara (-29 darjah Celsius).

 Taufan membawa salji hampir setebal 1.5 meter dalam tempoh 48 jam di bandar Erie, Pennsylvania, yang memaksa pegawai mengisytiharkan keadaan darurat.

 Penduduk berkongsi gambar salji yang mengagumkan dalam media sosial, dan pakar meteorologi mengaitkan salji setebal 147 sentimeter yang jatuh pada Hari Natal, Isnin, sehingga petang Selasa dengan ribut berais di Tasik Erie bersebelahan, salah sebuah tasik besar di Amerika Utara.

 Lebih banyak salji dijangkakan pada kadar seinci atau dua sejam, manakala penduduk diberi amaran untuk mengelak jalan raya.

 Gabenor Pennsylvania Tom Wolf mengumumkan Pasukan Pengawal Negara menyediakan kenderaan tentera seluruh permukaan bumi untuk membantu agensi tempatan dengan tindakan penguatkuasaan undangundang dan perubatan kecemasan.

 Menurut data dari Jabatan Cuaca Negara, salji setebal 34 ini yang jatuh pada 25 Disember merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan di bandar raya itu, mengatasi rekod tertinggi lama 20 inci pada 22 November 1956.

 Erie menerima salji setebal 97 inci pada Disember, menjadikannya bulan dengan salji paling banyak dalam sejarah bandar raya itu, yang biasa mengalami pada purata kira-kira 100 inci salji pada keseluruhan musim.

 Di Minot, di mana pangkalan Tentera Udara menyimpan bateri misil balistik antara benua Minuteman III, udara begitu sejuk sekali sehinggakan penduduk mengakui amat menyakitkan sekadar untuk menarik nafas.

 “Udara menyakitkan wajah kita, menyakitkan untuk bernafas.

 “Kulit segera berwap apabila kita keluar,” kata Morgan Alonia, 27, pengurus kafe Broadway Bean and Bagel.

 Suhu rendah turut dicatatkan di negeri Atlantik di utara AS.

 Di New York, pihak berkuasa cuaca memberitahu penduduk untuk menjangkakan suhu antara -12.7 darjah Celsius dan -6.6 darjah Celsius sehingga Sabtu, yang digambarkan jauh di bawah paras biasa, dan Gabenor Andrew Cuomo memberi amaran kepada penduduk untuk bersiap-sedia bagi cuaca sejuk berbahaya.

 — AFP

Advertisement