Anda di sini

Penerbangan terus Shenzhen-Kuching hanya permulaan

Advertisement
 Lee turut beramah dengan penumpang kanak-kanak yang menaiki penerbangan AirAsia Shenzhen yang pertama tiba di LTAK, semalam. Turut kelihatan Zhang (dua kiri) dan Wahab (kiri).
SELAMAT DATANG: Lee turut beramah dengan penumpang kanak-kanak yang menaiki penerbangan AirAsia Shenzhen yang pertama tiba di LTAK, semalam. Turut kelihatan Zhang (dua kiri) dan Wahab (kiri).

Ia akan menjadi pemacu permulaan lebih banyak lagi penerbangan dari China ke negeri ini, kata Lee

KUCHING: Penerbangan terus AirAsia dari Shenzhen, China ke Kuching akan menjadi pemacu permulaan lebih banyak lagi penerbangan dari negara itu ke Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, ia bakal menggalakkan syarikat penerbangan lain dalam insiatif sama yang pasti memberi keselesaan kepada penumpang tanpa perlu singgah di lapangan terbang lain.

Kita berharap penerbangan terus ini iaitu Shenzhen-Kuching akan menjadi pemacu permulaan lebih banyak penerbangan ke Sarawak pada masa depan.

Untuk makluman juga kita sedang bekerjasama dengan syarikat AirAsia bagi meneliti potensi bagi melaksanakan dua lagi penerbangan dari bandar-bandar di China pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang penerbangan AirAsia dari Shenzhen, China pertama ke Kuching  yang dihadiri Timbalan Konsulat Jeneral China di Kuching Zhang Yang  dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Abdul Wahab Aziz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Tambah Lee, selain itu diharapkan juga lebih banyak syarikat penerbangan lain turut meneliti Sarawak sebagai destinasi baharu kepada laluan mereka.

Katanya, selain syarikat penerbangan tempatan kementerian turut berbincang dengan syarikat penerbangan di China dalam insiatif yang sama iaitu penerbangan terus ke negeri ini.

Sarawak merupakan destinasi pelancongan baharu terutama kepada ahli perniagaan dari China kerana ramai kalangan ahli perniagaan dari sana tidak mengetahui tentang Sarawak.

Shenzhen bukan sahaja bandar raya moden tetapi pusat perniagaan terkenal di China, jadi kita merasakan Shenzhen mempunyai potensi terbesar sekali.

Maka kita berharap dengan penerbangan ini, kita menggalakkan lagi bukan sahaja pelancongan tetapi ramai lagi peniaga dari China datang melabur di Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penerbangan terus Shenzhen-Kuching, Lee berkata ia bukan sahaja daripada aspek penjimatan masa kepada penumpang tetapi keselesaan di mana mereka tidak perlu lagi singgah di mana-mana lapangan terbang lain.

Tambah beliau, kini penumpang dari Shenzhen tidak perlu lagi ke Hong Kong untuk mendapatkan penerbangan terus ke Sarawak selepas terlaksananya penerbangan Shenzhen-Kuching.

Kita berharap penerbangan terus setiap hari dari Shenzhen ini akan berkekalan pada masa akan datang.

Kita berterima kasih kepada syarikat penerbangan AirAsia atas kerjasama ini, begitu juga Pihak Berkuasa Penerbangan Awam China, yang meluluskan penerbangan ini,” tegasnya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kedua-dua pengusaha pelancongan dari China dan Sarawak, yang menyokong inisiatif dalam merancakkan lagi industri pelancongan.

Kata beliau sehingga kini penerbangan Shenzhen-Kuching telah menerima tempahan sehingga Mac 2018.

Advertisement