Anda di sini

Mira Filzah hos Nona 2018, perkenal tiga segmen baharu

MIRA FILZAH
MIRA FILZAH

MIRA Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, bukan satu nama asing dalam bidang penyiaran tanah air.

Selain popular dengan beberapa drama-drama dan telefilem tempatan, Mira Filzah juga pernah mengacara program-program televisyen seperti Qari Jr 2015 (TV3), 3 Juara (TV3), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke- 29 dan Mahligai Cinta (TV3).

Tahun 2018 bakal melakar sejarah baharu dalam perjalanan seni Mira Filzah apabila beliau dilamar sebagai pengacara Nona, program majalah TV wanita yang diperkenalkan oleh TV3 sejak tahun 1985.

Setelah lebih 30 tahun bersiaran, Nona pernah diterajui oleh nama-nama besar dalam industri penyiaran Malaysia seperti Dian P. Ramlee, Puan Sri Normala Samsudin, Maya Karin, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fiza Sabjahan, Neelofa dan Farah Fauzana.

Mula menceburkan diri dalam bidang peragaan tujuh tahun lalu, Mira Filzah mengorak langkah dalam bidang lakonan pada tahun 2013 walaupun ketika itu masih lagi belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa.

Gadis jelita ini juga merupakan bekas pelajar cemerlang dan penari kebudayaan SMK Aminuddin Baki Kuala Lumpur.

Ternyata minat dalam bidang seni membuahkan hasil apabila gadis versatil berusia 24 tahun ini memenangi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke- 29 (ABPBH) sebagai Artis Baru Wanita Popular.

Baru-baru ini telah berlangsung Majlis Pelancaran Hos Baharu Nona 2018 di Sri Pentas, Bandar Utama. Ianya bertujuan memperkenalkan Mira Filzah sebagai hos baharu program Nona bagi tahun 2018 menggantikan Uyaina Arshad.

Fokus kepada pelbagai isu berkaitan wanita di dalam dan di luar negara, Nona tidak pernah menghampakan penonton setianya dengan menyalurkan info berguna yang bertujuan mencerna minda dan secara tidak langsung memperkasakan wanita.

Pada awal kemunculannya, antara segmen popular dalam program Nona termasuklah Motivasi, Klinik Nona, Cik Sri Siantan, Titian Hidup, Dari Fail dan Petua Nona.

Kini, bagi mengikut arus pemodenan yang kian deras, Nona bakal membawakan tiga segmen baharu meliputi kisah-kisah memperkasakan wanita iaitu Primadona, Gadis Nona dan Tips Percutian namun masih lagi mengekalkan segmen asal seperti Wanita Inspirasi dan Fesyen.

Segmen Primadona membawakan kisah-kisah gaya hidup di sebalik tabir lagenda seni tanah air, bagaimana mereka bertahan begitu lama dalam industri seni dan tips-tips kewanitaan. Primadona juga menceritakan pahit getir dalam industri seni sebagai seorang wanita dan cara mereka atasi cabaran yang melanda dalam menuju kejayaan yang dikecapi sekarang.

Melancong merupakan salah satu cara untuk melepaskan tekanan hidup. Namun tidak ramai mengetahui tips-tips agar perjalanan lebih lancar dan teratur. Segmen Tips Percutian mengetengahkan tempat-tempat percutian menarik seperti pulau-pulau dan negara di benua Asia disamping memberi tips berguna mengenai bajet, percutian bersama keluarga serta cara menggunakan sepenuhnya ruang bagasi.

Nona 2018 membawakan segmen Gadis Nona di mana dalam segmen ini pihak produksi mendekati personaliti wanita muda sama ada televisyen atau media sosial untuk memberi inspirasi terhadap remaja wanita di Malaysia untuk terus menjadi positif dan kuat menghadapi cabaran kehidupan.

Nona edisi 2018 masih lagi meneruskan misi dalam memberi inspirasi kepada masyarakat. Populariti dan kekuatan program majalah wanita TV3 ini terletak pada kandungannya yang mengutamakan isu wanita di dalam dan luar negara.

Program ini juga dapat disaksikan di portal video www.tonton.com.my melalui langganan pakej tonton VIP. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Nona iaitu @nonatv3 dan Facebook rasmi Nona iaitu NONA TV3.