Anda di sini

Pengampunan Fujimori cetuskan protes

Advertisement

Keputusan presiden Kuczynski dibuat susulan pembatalan pendakwaan rasuahnya

LIMA: Polis Peru kelmarin melepaskan gas pemedih mata dan bertempur dengan penunjuk perasaan yang memprotes pengampunan ke atas bekas presiden Alberto Fujimori yang menjalani hukuman penjara 25 tahun atas pencabulan hak asasi manusia.

 Presiden semasa Pedro Pablo Kuczynski mengarahkan pengampunan Fujimori dan tujuh banduan lain pada Ahad lalu atas dasar perikemanusiaan, sekali lagi meletakkan dirinya di tengah-tengah krisis politik hanya beberapa hari selepas mengelak pendakwaan.

 Penunjuk perasaan kelmarin menyeru peletakan jawatan Kuczynski, yang kemudian mempertahankan keputusannya dalam mesej menerusi televisyen kepada negara.

 “Keluar, keluar PPK!” penunjuk perasaan yang berang melaung berkali-kali merujuk kepada presiden terbabit yang telah berikrar semasa kempen pilihan raya tahun lepas bahawa beliau tidak akan membebaskan Fujimori.

 “Fujimori, pembunuh dan pencuri, katakan tidak kepada pengampunannya!” menurut salah satu sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan yang juga mengusung satu bendera Peru raksasa.

 Sanak saudara mangsa pemerintahan kejam Fujimori turut menyertai perarakan tersebut.

 “Kami berada di sini sebagai ahli keluarga mangsa dan menolak pengampunan haram tersebut kerana ia tidak sepadan dengan kekejaman jenayahnya,” kata Gisella Ortiz, perwakilan sekumpulan ahli keluarga mangsa, kepada para wartawan.

 Satu pasukan polis antirusuhan kemudian meluru di sepanjang jalanan Lima unutk mencegah penunjuk perasaan berarak ke klinik di mana Fujimori menerima rawatan, melepaskan kanister gas pemedih mata dan memasang penghadang untuk meleraikan mereka.

 Seorang jurukamera dari stesen televisyen rasmi TV Peru dibelasah anggota polis dan kini dirawat di hospital, menurut presiden stesen Hugo Coya dalam Twitter.

 Kuczynski pada malam kelmarin mempertahankan keputusannya mengampunkan Fujimori.

 “Saya yakin kita yang mengamalkan demokrasi tidak harus membenarkan Alberto Fujimori mati dalam penjara kerana keadilan bukanlah pembalasan dendam,” tegas Kuczynski.

 “Keadilan adalah tentang kesihatan dan peluang untuk hidup seorang bekas presiden Peru yang telah bertindak melampau dan melakukan kesilapan serius, yang sudah dijatuhkan hukuman dan sudahpun meringkuk dalam penjara selama 12 tahun,” tambah beliau.

 Beliau terdahulu menyatakan keputusannya untuk menganugerahkan pengampunan bergantung kepada penilaian perubatan bahawa Fujimori mengalami penyakit yang tidak boleh dirawat dan di peringkat teruk, justeru keadaan dalam penjara mengancam nyawanya lebih lanjut.

 Namun langkah tersebut dibuat selepas anak lelaki Fujimori Kenji menapis cubaan parlimen pada Khamis untuk mendakwa Kuczynski atas dakwaan rasuah, sekali gus mencetuskan spekulasi pengampunan tersebut bersifat politik.

 Keadaan kesihatan Fujimori, 79, lemah dan keputusan dibuat berdasarkan responsnya terhadap rawatan di Klinik Centenario, menurut seorang doktor di pusat tersebut, Alejandro Aguinaga, kepada para wartawan.

 Beliau berkata, tiada prospek Fujimori akan keluar dalam masa terdekat ini.

 Fujimori dipindahkan dari selnya ke klinik tersebut pada Sabtu setelah mengalami tekanan darah rendah dan denyutan jantung tidak tetap.

 “Beliau masih dalam unit rawatan rapi.

 “Keadaannya baik tetapi ujian lain diperlukan,” tambah Aguinaga.

 Beliau berkata, bekas presiden terbabit sudahpun menjalani imbasan otak dan jantung, di mana masalah jantung memburukkan pelbagai masalah patologi lain.

 Fujimori telah dimasukkan ke hospital beberapa kali, kali terakhir pada September, serta mempunyai masalah jantung, belakang dan perut selain beberapa pembedahan untuk membuang tumor kanser dari lidahnya.

 Di sebalik pensabitannya atas pencabulan hak asasi manusia, Fujimori masih popular di Peru kerana menumpaskan gerila sayap kiri dan menstabilkan ekonomi yang mengalami krisis sejak sekian lama.

 Prestasi itu disebut-sebut selaras dengan pengampunannya di mana puluhan penyokong berkumpul di hadapan hospital tatkala penentang berdemonstrasi di Lima mengecamnya.

 Lelaki keturunan Jepun itu memerintah Peru antara 1990 dan 2000, namun dengan pantas menjadi autokratik selepas rampasan kuasa dalaman pada 1992 yang mendorongnya membubarkan dewan perundangan.

 — AFP

Advertisement