Aliran masuk dana asing berterusan, manakala ringgit kukuh berbanding dolar AS
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka meningkat, disokong oleh ringgit yang kukuh berbanding dolar AS dan aliran masuk dana asing yang berterusan, kata peniaga.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, negara menerima aliran masuk dana bersih sebanyak RM10 bilion pada tahun ini selepas mengalami aliran keluar dalam tempoh tiga tahun lalu.
Beliau berkata setakat ini, ringgit meningkat kira-kira 10 peratus berbanding dolar AS, manakala Bursa Malaysia berkembang sebanyak lapan peratus.
“Saya menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik kepada paras 1,780 sebelum minggu pertama 2018 berikutan pelabur membeli saham sebelum akhir tahun,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Nazri Khan berkata harga komoditi yang pulih, termasuk minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah (MSM) turut menunjukkan kepada sentimen yang kukuh bagi Malaysia.
“Berdasarkan pengukuhan ini, saya percaya pasaran tempatan akan dapat bersaing dengan negara lain,” katanya.
Nazri Khan turut menjangka pertumbuhan ekonomi akan terus baik dengan pertumbuhan sebanyak lima peratus yang dijangka pada tahun depan.
Di peringkat luaran, katanya pengurangan cukai utama AS yang diluluskan pada minggu lepas dijangka merangsang ekonomi AS, selain mempunyai kesan limpahan di pasaran pesat membangun seperti Malaysia.
Bagi perbandingan Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 7.17 mata kepada 1,760.24, dengan pasaran kebanyakannya dipengaruhi oleh aktiviti memperelokkan akaun dan pengambilan untung menjelang musim perayaan.
Indeks FBM Emas naik 72.91 mata kepada 12,661.75, Indeks FBMT 100 meningkat 77.42 mata kepada 12,334.27, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 120.14 mata kepada 13,010.87, FBM 70 menambah 189.73 mata kepada 15,650.44 dan FBM Ace menokok 37.08 mata kepada 6,465.50. Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 8.32 mata kepada 16,594.83, Indeks Perladangan naik 90.29 mata kepada 7,900.40, manakala Indeks Perusahaan menambah 12.37 mata kepada 3,192.53.
Jumlah dagangan naik kepada 12.22 bilion saham bernilai RM10.94 bilion daripada 11.07 bilion unit bernilai RM13.65 bilion minggu sebelumnya. Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 6.45 bilion saham bernilai RM9.92 bilion daripada 7.09 bilion saham bernilai RM12.96 bilion.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.03 bilion unit bernilai RM178.09 juta berbanding 974.17 juta unit bernilai RM126.08 juta minggu sebelumnya. Pasaran ACE naik kepada 4.61 bilion saham bernilai RM804.24 juta daripada 2.95 bilion saham bernilai RM546.69 juta yang diurusniagakan sebelum ini. — Bernama