
iPhone 8 menanti pemenang berbelanja RM100 ke atas
SIBU: Hadiah utama iPhone 8 menanti pemenang bertuah yang membuat pembelian RM100 atau ke atas dalam satu resit pada Ekspo ICT Sarawak 2017 mulai 29 hingga 31 Disember ini.
Naib Pengerusi Persatuan Jualan dan Perkhidmatan Komputer Sarawak (CSSA) Cawangan Sibu Wong Ing Ang berkata, ekspo tiga hari itu akan diadakan di Giant Hypermarket Sibu.
“Acara cabutan bertuah akan dilakukan secara langsung di lokasi ekspo pada 31 Disember, jam 7 petang.
“Pelanggan juga perlu berada di lokasi ekspo untuk acara tersebut,” jelasnya pada sidang media di sini, semalam.
Tambahnya, para pelanggan akan mendapat satu hadiah permainan percuma dengan pembelian RM50 ke atas.
“Lebih 300 produk ICT akan ditawarkan dengan harga promosi kepada pelanggan sepanjang ekspo tiga hari tersebut,” ujarnya.
Wong berkata, orang ramai juga boleh mengambil bahagian dalam acara ‘Like & Share’ di Facebook atau kongsi ‘Moment’ dalam WeChat.
“Pihak penganjur menyediakan hadiah percuma kepada mereka yang mengambil bahagian dalam acara ini,” jelasnya.
Menurut Wong, 31 gerai pameran dengan 19 peserta mengesahkan penyertaan mereka pada ekspo tahun ini.
“Orang ramai dipelawa datang beramai-ramai memeriahkan ekspo yang bermula dari jam 10 pagi hingga 9 malam,” katanya.
Sementara itu, Wong berkata, turut diadakan kempen kitar semula sisa elektronik untuk melupuskan produk elektronik seperti komputer dan sebagainya.
“Majlis perasmian akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS),” jelasnya.
Wong berkata, kempen dianjurkan CSSA dengan kerjasama MPS bertujuan mewujudkan persekitaran bersih dan selamat untuk didiami.
“Kami turut berterima kasih kepada Pengerusi Lembaga Perkhidmatan Komuniti (LPK) Parti Rakyat Bersatu (UPP) Sibu dan Ketua Rancangan Sibu (RS1) Dato Andrew Wong.
“Kempen kitar semula juga merupakan salah satu projek di bawah RS1,” ujarnya.