Anda di sini

Majikan perlu pastikan pemandu bas cukup rehat: Lee

Advertisement
Lee
Lee

SIBU: Syarikat bas disaran agar memastikan pemandu mereka mempunyai rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh.

 Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Tan Sri Lee Lam Thye ketika mengulas tentang perkara itu menjelaskan bahawa sudah banyak tragedi melibatkan bas berlaku.

 “Pemandu bas mesti mempunyai rehat yang cukup dan majikan mereka juga perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu.

 “Kita tidak mahu kemalangan membabitkan bas kembali berulang dan perkara ini harus diberikan perhatian oleh majikan syarikat bas berkenaan,” katanya kepada pemberita kelmarin.

 Lee memberi pandangan sedemikian kerana menjangkakan lalu lintas di seluruh negara kembali sesak menjelang sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.

 Selain itu katanya, faktor kesesakan tersebut turut disebabkan orang ramai yang ingin pulang ke tempat kerja masing-masing selepas bercuti panjang.

 Beliau berkata, lebih 20 maut di seluruh negara dalam beberapa kemalangan jalan raya sejak kebelakangan ini.

 “Saya berpendapat orang ramai harus mengutamakan keselamatan mereka dengan memandu cara selamat serta mematuhi peraturan lalu lintas,” tegas Lee.

 Beliau juga menegur tentang penggunaan telefon bimbit semasa memandu kerana ia boleh mengalihkan perhatian semasa pemanduan.

 “Orang ramai suka memandu laju kerana ingin cepat sampai, terlewat, tergesagesa atau ghairah ke sesuatu destinasi tanpa mengambil kira keselamatan diri,” tegas beliau.

 Justeru Lee berharap orang ramai lebih mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta pengguna jalan raya yang lain.

Advertisement