Pertumbuhan eksport menyederhana, keadaan kredit lebih ketat
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal kukuh iaitu lima peratus pada 2018 berbanding 5.9 peratus dianggarkan tahun ini, berikutan penyederhaan pertumbuhan eksport dan keadaan kredit yang lebih ketat, kata Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).
Penasihat Economi ICAEW Sian Fenner berkata, penyelarasan pemulihan global akan terus menyokong eksport tetapi momentum mungkin merosot pada 2018 ketika pemulihan perdagangan global memasuki peringkat lebih matang dan pertumbuhan import China berkurangan berikutan dasar kewangan yang lebih ketat.
“China akan mengurangkan import, oleh itu eksport Malaysia akan merosot berbanding tahun ini.
“Permintaan domestik dijangka kekal berdaya tahan, terutama dalam pelaburan dan perbelanjaan infrastruktur, manakala perbelanjaan isi rumah akan sederhana sedikit tetapi tetap berada di kedudukan yang agak mantap,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pemahaman Ekonomi Asia Tenggara ICAEW untuk suku keempat 2017, di sini semalam.
Fenner berkata, kos membayar hutang isi rumah Malaysia dijangka meningkat selaras dengan kenaikan kadar faedah dalam negeri memandangkan jangkaan kenaikan kadar faedah 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) yang dijangka diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam suku pertama 2018.
Walaupun prospek pertumbuhan ekonomi yang positif, infl asi dijangka sederhana pada 2018.
Infl asi teras berkemungkinan tinggi tahun depan berikutan permintaan domestik yang kukuh, dengan infl asi utama dijangka menyederhana hingga 2.9 peratus tahun depan daripada anggaran 3.8 peratus.
“Kami menjangka proses penormalan dasar monetari oleh BNM akan diteruskan secara beransur-ansur dan disampaikan dengan baik.
“Kitaran normalisasi dasar makro yang beransur-ansur, bersama dengan trend yang masih kukuh dalam pertumbuhan perdagangan global, dijangka memastikan pertumbuhan kekal berdaya tahan di Malaysia dan di seluruh rantau ini,” katanya sambil menambah pilihan raya negara, risiko kebocoran fi skal dan tahap hutang isi rumah hutang akan menjadi antara perkara penting untuk dipantau tahun depan.
Mengenai ringgit, Fenner berkata, ia akan kekal menarik kepada pelabur asing berikutan dolar AS yang lemah dan meramalkan mata wang tempatan akan diniagakan di bawah paras 4.2 berbanding dolar Amerika Syarikat tahun depan. — Bernama