Anda di sini

Polis berkas puluhan suspek serang warga Denmark

Advertisement
 Polis mengiringi peniaga yang ditangkap selepas serangan pisau mencederakan             dua warga Denmark di pasar popular di Libreville kelmarin. — Gambar AFP
DITANGKAP: Polis mengiringi peniaga yang ditangkap selepas serangan pisau mencederakan dua warga Denmark di pasar popular di Libreville kelmarin. — Gambar AFP

LIBREVILLE: Polis di Gabon menangkap puluhan orang kelmarin yang ada kaitan dengan satu serangan pisau yang mencederakan dua warga Denmark yang bekerja untuk National Geographic, dipercayai untuk membalas “serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas orang Muslim”, kata pegawai.

Kebanyakan lelaki yang ditahan adalah peniaga dan penjual di pasar popular di Libreville di mana serangan itu berlaku Sabtu lepas – dan semua berasal dari barat Afrika.

Seorang pegawai berkata mereka dibawa ke ibu pejabat polis, di mana mereka akan disoal siasat.

Operasi terus dijalankan,” kata jurucakap kerajaan Alain-Claude Bilie By Nze kepada AFP. “Kami enggan mengulas pada peringkat ini.”

National Geographic me-ngesahkan sasaran serangan bekerja untuk organisasi tersebut.

Kami amat sedih untuk mengesahkan laporan bahawa kedua-dua warga Denmark yang diserang dengan dahsyat di Gabon adalah anggota keluarga National Geographic,” ia menyebut dalam satu kenyataan.

Kami berhubung terus dengan mangsa dan syarikat penerbitan Denmark yang menjalankan tugasan bersama mereka, dan objektif utama kami adalah untuk menyokong pemulihan dan kepulangan dengan selamat ke Denmark.”

Polis berkata penyerang merupakan seorang lelaki Nigeria berusia 53 tahun yang, menurut saksi, menjerit “Allahu akbar” (Allah Maha Besar) sewaktu melakukan serangan.

Lelaki itu, yang sudah tinggal di Gabon selama 19 tahun, berkata dalam kenyataan pertamanya dia “bertindak untuk membalas serangan AS ke atas orang Muslim dan pengiktirafan Amerika kepada Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel”, kata Menteri Pertahanan Etienne Massard.

Penduduk berkata lelaki itu berasal daripada masyarakat Muslim Hausa/Fulani dan menjual daging panggang dari sebuah kart di bandar dan pasar berkenaan.

Kami masih mengumpul maklumat,” kata Bilie By Nze.

Pasar di Libreville, popular di kalangan pelancong, ditutup selepas insiden itu dan masih ditutup kelmarin, dengan pasukan keselamatan yang menjaga pagar.

Pihak berkuasa berkata serangan itu dipercayai bermotifkan politik, tetapi belum secara terbuka mengklasifikasikannya sebagai terorisme. — AFP

Advertisement