Anda di sini

Bekas pembantu pegawai teknik Telekom dipenjara

Advertisement

ALOR SETAR: “Hang dah kerja elok-elok, apa hang buat ini melibatkan anak, isteri dan semua yang sayang hang,” kata Hakim Azman Abu Hassan kepada seorang tertuduh, Sukri Mat, 49, yang mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, bekas Pembantu Pegawai Teknik Telekom Malaysia Berhad yang hadir di mahkamah tanpa kelibat anggota keluarganya hanya tunduk mendengar nasihat daripada hakim itu agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Bapa kepada tiga anak berusia 10 hingga 22 tahun itu dihukum penjara 12 bulan dan denda RM150,000 atas dua pertuduhan berasingan iaitu meminta dan memperoleh rasuah, dua tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada Badlishah Hamid, 47, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai upah menyediakan anggaran sebut harga bagi kerja-kerja pengalihan kabel jenis tembaga dan fiber optik serta kerja berkaitan selain sebagai dorongan untuk memperakukan kerja disiapkan dengan sempurna dan memuaskan.

Badlishah menerima SMS tersebut semasa berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Badlishah dekat sini pada jam 11.04 pagi, 21 Sept 2015 dan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, Sukri yang ketika itu memegang jawatan Pembantu Pegawai Teknik Telekom Alor Setar Selatan menerima rasuah wang tunai sebanyak RM10,000 daripada Badlishah atas kesalahan sama di Restoran Nasi Kandar Imran, di sini, pada 21 Sept 2015, kira-kira 2.50 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sukri merayu agar hukumannya dikurangkan memandangkan dia sudah tidak bekerja dan perlu menjaga bapanya berusia 80 tahun yang mempunyai sakit gout serta sudah menyesal dengan perbuatan tersebut “Saya juga menghidap penyakit kencing manis sejak 20 tahun dan perlu jaga adik yang sakit mental,” katanya.

Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman enam bulan penjara dan denda  RM150,000 (enam bulan penjara jika gagal bayar), manakala bagi pertuduhan kedua pua, enam bulan penjara dan denda RM50,000 (enam bulan penjara jika gagal bayar).

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini dan tertuduh dihantar menjalani hukuman di Pusat Koreksional Perlis. — Bernama

Advertisement