Anda di sini

Aishah dinobat Juara Gegar Vaganza 4, kalahkan peserta pilihan Liza Hanim

Advertisement
 (Dari kiri) Lan Solo, Aishah dan Liza Hanim bersama trofi yang dimenangi mereka.
PEMENANG: (Dari kiri) Lan Solo, Aishah dan Liza Hanim bersama trofi yang dimenangi mereka.

PROGRAM nyanyian popular Gegar Vaganza 4 (GV4) melabuhkan tirainya pada malam Ahad lepas dengan menobatkan Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin sebagai juara.

Aishah ternyata menepati ramalan ramai pihak apabila berjaya menewaskan peserta pilihan dan saingan terdekatnya Liza Hanim yang menduduki tempat kedua serta empat peserta akhir yang lain iaitu Lan Solo, Hazami, Firman dan Tia Jinbara.

Penyanyi yang suatu ketika dahulu popular dengan lagu ‘Janji Manismu’ itu tidak menjadikan usianya yang kini sudah 52 tahun sebagai halangan untuk beraksi dengan begitu mantap sekali ketika menyanyikan lagu ‘#Supergirls’ bersama-sama dengan Liza Hanim dalam segmen battle.

Malah persembahan solonya dalam pusingan pertama ketika menyanyikan lagu ‘All by Myself’ berjaya membuatkan salah seorang juri tetap pertandingan iaitu Bunda Hetty Koes Endang mengalirkan air mata.

Dengan kemenangan itu, Aishah berjaya membawa wang tunai RM100 ribu, sebidang tanah lot banglo dan pakej percutian ke Eropah Timur.

Selain hadiah-hadiah utama itu, Aishah turut membawa pulang barangan kemas sumbangan DSV Gold & Jewelry bernilai RM80 ribu, baucar beli-belah RM6 ribu sumbangan Go Shop dan trofi Gegar Vaganza.

Bukan itu sahaja, Aishah turut terpilih untuk memenangi Anugerah Gelora Vida Vaganza dan menerima hadiah istimewa daripada usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida yang merupakan panaja platinum pertunjukan.

Sementara itu, sebagai naib juara Liza Hanim membawa pulang wang tunai RM50 ribu, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas, baucar beli-belah RM5 ribu tajaan Go Shop serta trofi.

Lan Solo yang menduduki tempat ketiga pula berjaya membawa pulang wang tunai RM30 ribu, sebidang tanah lot banglo dan pakej percutian ke Boracay.

Bekas vokalis kumpulan Kristal itu turut membawa pulang barangan kemas sumbangan DSV Gold & Jewelry, baucar barangan tunai RM4 ribu sumbangan Go Shop serta trofi pertandingan.

Hazami yang berada di tempat keempat membawa pulang wang tunai RM20 ribu, pakej percutian ke Jogjakarta, barangan kemas, baucar barangan tunai RM3 ribu tajaan Go Shop serta trofi.

Hazami yang menyanyikan lagu ‘Bahagiamu Deritaku’ dalam segmen solo dan ‘Amboi’ bersama Lan solo untuk segmen battle turut membawa pulang eGiftCard Go Shop bernilai RM1 ribu selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Digi Star of The Week.

Sementara itu, satu-satunya penyanyi dari Indonesia dalam pertandingan kali ini Firman hanya sekadar menduduki tempat kelima dan membawa pulang wang tunai RM15 ribu, barangan kemas sumbangan DSV Gold & Jewelry, baucar barangan tunai RM2 ribu sumbangan Go Shop serta trofi.

Tia Jinbara yang digandingkan dengan Firman di segmen battle di mana mereka berdua menyanyikan lagu ‘Tepi Sikit’ menduduki tempat keenam dan membawa pulang wang tunai RM10 ribu, barangan kemas sumbangan DSV Gold & Jewelry, baucar barangan tunai RM1 ribu tajaan Go Shop serta trofi.

Selain Bunda Hetty, persembahan keenam-enam peserta akhir turut diadili oleh Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro Datuk Khairul Anwar Salleh diiringi oleh Ketua Saluran Melayu Astro Raqim Ahmad dan juga Penaja Platinum GV4, Dato’ Seri Vida.

Konsert akhir GV4 yang seperti biasa dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada dua bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat dan Ezad serta empat bintang GV4 yang tersingkir sebelum ini iaitu Aqasha & Haida serta Raja Azura & Syura.

Konsert akhir GV4 bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor.

 Aqasha dan Haida berduet menyanyikan sebuah lagu.
DUET: Aqasha dan Haida berduet menyanyikan sebuah lagu.
  • oleh
  • Advertisement