Anda di sini

Puluhan ribu bantah Trump di Indonesia

Advertisement
 Penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam Trump dan rejim Israel semasa menyertai demonstrasi di Tugu Negara Monas di Jakarta, semalam. — Gambar Reuters
SUARA RAMAI: Penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam Trump dan rejim Israel semasa menyertai demonstrasi di Tugu Negara Monas di Jakarta, semalam. — Gambar Reuters

Tunjuk perasaan aman yang terbesar disaksikan sejak peralihan polisi AS di Baitulmaqdis

JAKARTA: Puluhan ribu penganut Islam berarak dari masjid utama di ibu negara Indonesia ke sebuah dataran di Jakarta semalam untuk membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

 Ia merupakan tunjuk perasaan terbesar di Indonesia sejak langkah kontroversi Trump pada awal bulan ini untuk mengubah dasar AS selama berdekad-dekad.

 Polis menganggarkan jumlah yang menyertai rapat umum itu, yang dianjurkan oleh pelbagai kumpulan Muslim, kira-kira 80,000 orang.

 Protes itu berjalan dengan aman tetapi barisan polis di belakang kawat duri menjauhkan orang ramai di luar kedutaan AS di Jakarta.

 Seorang jurucakap polis berkata, 20,000 anggota polis dan tentera dikerahkan untuk menjaga keselamatan.

 “Kita menggesa semua negara untuk menolak keputusan sehala dan tidak sah Presiden Donald Trump untuk menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel,” kata Setiausaha Agung Majlis Ulama Indonesia, Anwar Abbas, kepada hadirin.

 “Kita menyeru kepada semua rakyat Indonesia untuk memulaukan produk AS dan Israel di negara ini jika Trump tidak menarik balik tindakannya,” kata Abbas, yang membacakan petisyen yang akan diserah kepada duta AS di Indonesia.

 Ramai penunjuk perasaan berpakaian serba putih dan mengibarkan bendera Palestin sambil membawa sepanduk, ada yang menyebut: “Ke amanan, kasih dan bebaskan Palestin”.

 Siri protes telah berlaku di Indonesia berhubung isu itu, termasuk beberapa tunjuk perasaan di mana golongan konservatif membakar bendera AS dan Israel.

 Status Baitulmaqdis, kota suci Muslim, Kristian dan Yahudi, merupakan salah satu halangan terbesar kepada keamanan Israel-Palestin yang berkekalan.

 Sektor timur Baitulmaqdis ditawan Israel dalam perang pada 1967 dan dirampas dalam tindakan yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

 Penduduk Palestin mahu menuntut semula Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara mereka manakala rejim Israel menegaskan seluruh Baitulmaqdis adalah ibu negaranya.

 — Reuters

Advertisement