Anda di sini

Jay-Z dahului senarai calon Grammy yang didominasi oleh hip hop

Advertisement
Jay-Z
Jay-Z

MOGUL rap Jay-Z mendahului senarai pencalonan Grammy baru-baru ini apabila dicalonkan dalam lapan kategori, diikuti dengan dekat oleh seorang lagi penyanyi rap Kendrick Lamar yang mendapat tujuh pencalonan, dalam apa yang dilihat sebagai penguasaan irama hip hop untuk hadiah utama industri muzik itu.

 Jay-Z, yang sehingga kini telah memenangi sebanyak 21 anugerah Grammy sepanjang kerjayanya namun tidak pernah dicalonkan dalam kategori utama sebagai artis solo, dicalonkan untuk ‘Album of the Year’ untuk album ‘4:44’ dan juga dalam kategori ‘Record and Song of the Year’.

 ‘4:44’ merupakan kepulangan semula pemuzik jutawan berusia 47 tahun itu ke dalam dunia muzik selepas sibuk dengan perniagaan dalam beberapa tahun ini.

 Album itu menunjukkan Jay-Z yang lain dari sebelumnya, di mana dia mengaku pernah curang dengan isterinya Beyonce selain mendedahkan apa yang dilalui oleh ibunya sebagai seorang lesbian serta hubungan kaum yang ada di AS.

 Sementara itu, tujuh pencalonan yang diperolehi oleh Lamar datang dari ‘DAMN.’, sebuah album yang beralih kepada gaya hip hop yang lebih tradisional selepas penyanyi berusia 30 tahun dari Los Angeles itu bereksperimen dengan jazz, elektronika dan ucapan kata-kata.

 Bruno Mars, seorang penggerak kepada kebangkitan semula muzik funk yang ceria, mendapat enam pencalonan termasuk ‘Album of the Year’ untuk album terkininya yang berjudul ‘24K Magic’.

 ‘Despacito’, lagu hit tular yang berjaya mendominasi carta single AS dalam tempoh yang agak lama walaupun ia dalam bahasa Sepanyol, dicalonkan untuk ‘Record of the Year’ yang mengiktiraf lagu secara keseluruhan dan ‘Song of the Year’ yang memberi penghormatan kepada penulis lagu.

 Jika berjaya, ‘Despacito’ sekali lagi akan mencipta sejarah sebagai lagu pertama dalam bahasa lain selain bahasa Inggeris menang dalam salah satu kategori selepas lagu oleh penulis lirik Itali, Domenico Modugno berjudul ‘Nel Blu Dipinto Di Blu’ yang lebih popular sebagai ‘Volare’ disebabkan bahagian korusnya menang di anugerah Grammy terawal pada tahun 1959.

 Akademi Rakaman Amerika Syarikat, yang terdiri daripada lebih 13,000 profesional muzik, akan mengundi para pemenang yang akan diumumkan di gala tahunan Anugerah Grammy pada 28 Januari depan.

 Ia akan diadakan di New York, tempat asal Jay-Z, bagi menandakan edisi ke-60 acara anugerah itu selepas 14 tahun diadakan di Los Angeles.

 pertama hip hop mendominasi - Acara anugerah ini melihat buat pertama kalinya kebanyakan pencalonan dalam kategori ‘Album of the Year’, hadiah paling berprestij acara itu, datang dari dunia hip-hop.

 Perkara ini berlaku selepas beberapa tahun ia berdepan dengan kritikan betapa sedikitnya pengiktirafan yang diberikan oleh industri hiburan kepada artis Afrika- Amerika.

 Sebelum ini, hanya dua kali album yang berdominasikan rap pernah menang ‘Album of the Year’.

 Pada 2016, album Lamar yang berjudul ‘To Pimp a Butterfly’ -- sebuah album yang mendapat pujian ramai yang menampilkan lagu tidak rasmi pergerakan ‘Black Lives Matter’ -- kalah dalam cara yang penuh kontroversi kepada album Taylor Swift yang berjudul ‘1989’.

 Dan semasa Anugerah Grammy pada awal tahun ini, Adele meluahkan rasa malunya setelah diumumkan sebagai pemenang ‘Album of the Year’ untuk album ‘25’ dan mengalahkan album eksperimental dan sarat dengan naratif oleh Beyonce yang berjudul ‘Lemonade’.

 Kali ini, Swift hanya dicalonkan dalam dua kategori sampingan selepas album juara cartanya ‘Reputation’ keluar terlalu lewat bagi dipertimbangkan bagi ‘Album of the Year’.

 Ed Sheeran, yang turut mendapat banyak pencalonan setiap tahun sejak 2013, turut diketepikan dalam kategori utama walaupun album baharunya ‘Divide’ mencatat kejayaan komersial yang kuat di seluruh dunia.

 Dan Katy Perry, orang yang paling diikuti di Twitter di seluruh dunia, sama sekali tidak nampak dalam senarai pencalonan selepas album baharunya ‘Witness’ bergelut untuk menyamai kejayaan albumnya sebelum ini.

 Dalam kalangan penyanyi rap yang lain, Childish Gambino -- nama pentas pelawak Donald Glover yang memasukkan irama funk dan R&B psikedelik ke dalam hip hop -- turut dicalonkan untuk ‘Album of the Year’ dan ‘Record of the Year’.

 Lorde adalah satusatunya artis wanita yang bersaing untuk ‘Album of the Year’ dengan ‘Melodrama’, album kedua oleh penyanyi New Zealand yang berusia 21 tahun itu.

 Calon-calon untuk kategori Artis Baharu Terbaik termasuk Alessia Cara dan Khalid, yang turut dicalonkan untuk ‘Song of the Year’ untuk lagu anti bunuh diri berjudul ‘1-800-273-8255’ yang merujuk kepada talian bantuan telefon di Amerika Syarikat.

 Turut tercalon adalah penyanyi rap Lil Uzi Vert, penulis lagu yang prolifik dan kini bintang pop Julia Michaels dan penyanyi R&B inovatif SZA.

 — AFP

Advertisement