Anda di sini

Undian Brexit: MP Britain tewaskan May

Advertisement
 Penunjuk perasaan pro-EU anti-Brexit melambai bendera Union dan EU di hadapan papan iklan memaparkan wajah May, Davis dan Setiausaha Luar Negeri Britain Boris Johnson di luar Dewan Rakyat di tengah London kelmarin. — Gambar AFP
PRO-EU ANTI-BREXIT: Penunjuk perasaan pro-EU anti-Brexit melambai bendera Union dan EU di hadapan papan iklan memaparkan wajah May, Davis dan Setiausaha Luar Negeri Britain Boris Johnson di luar Dewan Rakyat di tengah London kelmarin. — Gambar AFP

Susulan 11 ahli Konservatif sokong pembangkang, cetus sorakan dalam Dewan Rakyat

LONDON: Penggubal undang-undang Britain menewaskan Perdana Menteri Theresa May dalam satu undian Brexit yang penting kelmarin, untuk menekankan kuasa mereka ke atas proses keluar dari Kesatuan Eropah (EU) dengan menuntut kata putus mengenai perjanjian perceraian berkenaan.

 Sebelas ahli Parti Konservatif pimpinan May menyertai penggubal undang-undang pembangkang untuk memberikan kekalahan pertama kepada kerajaan berhubung Rang Undang-Undang EU (Pengunduran), yang mencetuskan sorakan besar dalam Dewan Rakyat.

 Jemaah menteri cuba mengambil hati pengkritik dengan konsesi minit akhir, tetapi pemberontak utama Dominic Grieve, seorang bekas ketua peguam, memberi amaran: “Ia sudah terlambat.

” Pindaannya mewajibkan perundangan baharu untuk melaksanakan sebarang perjanjian perceraian dengan Brussels sebelum Britain meninggalkan EU pada Mac 2019.

 Ia diluluskan oleh 309 undi berbanding 305, dengan Ahli Parlimen (MP) Konservatif ke-12 yang tidak mengundi dalam kedua-dua kem.

 “Kemenangan ke atas pindaan Grieve!” tweet Keir Starmer, jurucakap Brexit bagi Parti Buruh, sambil memuji “golongan Tories berani” yang mengundi bersama pembangkang.

 Peranan penting yang dimainkan oleh pemberontakan Konservatif mendominasi berita utama Britain, yang digambarkan sebagai “pemberontakan Tory” memalukan oleh akhbar Guardian dan ‘Pembelotan dalam Dewan Rakyat’ oleh akhbar The Daily Telegraph.

 Akhbar The Daily Mail pergi lebih jauh lagi, dengan mengecam “11 orang tidak puas hati dan mementingkan diri” yang ia tuduh mengkhianati pemimpin mereka dan pengundi Brexit.

 Kerajaan May berkata ia “kecewa” dengan undian itu, dan menambah: “Kita sekarang akan menentukan sama ada perubahan lanjut diperlukan ataupun tidak kepada rang undang-undang itu untuk memastikan ia memenuhi matlamatnya yang penting.”

Kekalahan itu merupakan tamparan kepada May sehari sebelum pemimpin EU berhimpun di Brussels untuk meluluskan terma bagi satu perjanjian sementara Brexit yang dimeterai pada minggu lepas setelah rundingan selama berbulan-bulan.

 Perjanjian itu merupakan waktu kemenangan yang jarang sekali berlaku bagi perdana menteri itu, yang menempuh beberapa bulan yang bergolak sejak beliau kehilangan majoriti dalam parlimen dalam pilihan raya tergempar yang buruk pada Jun lalu.

 Kejayaan MP menewaskan May di Westminster dianggap sebagai “Hari baik untuk demokrasi” oleh Guy Verhofstadt, wakil utama Parlimen Eropah dalam rundingan Brexit.

 “Parlimen British mengambil balik kawalan.

 Parlimen Eropah dan Britain akan sama-sama membuat keputusan mengenai perjanjian muktamad.

 Kepentingan rakyat akan mengatasi politik parti yang sempit,” beliau menulis dalam Twitter.

 Rang Undang-Undang EU (Pengunduran) bertujuan untuk menamatkan secara rasmi keahlian Britain dalam blok tersebut selain melancarkan pengundurannya dengan memindahkan ribuan perkara dalam perundangan Eropah ke dalam buku statut UK.

 Ia turut memberi kuasa kepada jemaah menteri untuk meminda undang-undang apabila mereka menyeberang tanpa penelitian sepenuhnya dalam parlimen, untuk menangani sebarang masalah teknikal.

 Namun MP membantah hakikat bahawa apa yang dipanggil kuasa “Henry VIII” ini juga dilanjutkan kepada pelaksanaan perjanjian muktamad berhubung terma Brexit dan peralihan.

 Beberapa jam sebelum undian itu, Setiausaha Brexit David Davis berjanji kepada MP bahawa tiada perjanjian pengunduran akan dilaksanakan sehingga undian dibuat dalam parlimen.

 Parlimen kemudian akan diminta meluluskan satu lagi perkara perundangan untuk melaksanakan perjanjian itu.

 Namun jemaah menteri menegaskan mereka perlu mengekalkan kuasa khas mereka bagi kemungkinan undang-undang ini tidak sempat diluluskan.

 “Itu mungkin pada peringkat yang sangat lewat dalam prosiding, yang mungkin bermakna kita tidak dapat melakukan pengunduran yang teratur dan lancar dari EU seperti yang kita inginkan,” kata May kepada MP terdahulu.

 Gina Miller, seorang aktivis yang berjaya pada tahun lepas untuk menuntut peranan yang lebih tinggi bagi MP dalam proses Brexit, berkata selepas undian: “Kedaulatan parlimen menang pada hari ini!” Selepas perbincangan selama berbulan-bulan, May mendapatkan persetujuan pada minggu lepas mengenai tiga keutamaan bagi perpisahan itu – penyelesaian kewangan Britain, sempadan Ireland dan hak ekspatriat.

 Parlimen Eropah kelmarin memberikan sokongan kepada persetujuan itu yang, jika diluluskan di sidang kemuncak pada hujung minggu ini, kini dijangka akan membolehkan rundingan mengenai perdagangan.

 Namun undian dalam Dewan Rakyat menandakan masalah domestik selanjutnya bagi May, kerana parlimen dan Parti Konservatif berpecah- belah mengenai hubungan Britain dengan EU pada masa depan.

 Kerajaan bertindak pantas untuk memecat salah seorang pemberontak, Stephen Hammond, dari jawatannya sebagai naib pengerusi Parti Konservatif.

 Hammond berkata beliau “mendahulukan negara dan rakyat sebelum parti dan mengundi dengan prinsip saya untuk memberikan undi bermakna kepada parlimen”.

 — AFP

Advertisement