Anda di sini

‘Mandatori’ adaptasi novel popular RAM di Astro First Eksklusif mulai esok

Advertisement
 (Dari kiri) Amerul Affendi, Chew Kit Wah, Iedil Putra, Aeril Zafrel, Alvin Wong, Siti Saleha dan Dato A Tamimi Siregar semasa satu sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.
BARISAN PELAKON MANDATORI: (Dari kiri) Amerul Affendi, Chew Kit Wah, Iedil Putra, Aeril Zafrel, Alvin Wong, Siti Saleha dan Dato A Tamimi Siregar semasa satu sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Astro dengan kerjasama Ideate Media bakal menerbitkan mini siri bergenre ‘crime thriller’, adaptasi karya novel popular milik Ramlee Awang Murshid (RAM) yang berjudul ‘Mandatori’.

Mini siri enam episod arahan Razaisyam Rashid, diterajui oleh Aeril Zafrel, Siti Saleha, Alving Wong, Iedil Putra, Datuk A. Tamimi Siregar, Vanidah Imran, Susan Lankaster, Jo Kukathas, Meor Hashim Manap, Amerul Affendi dan Chew Kin Wah.

Ketua Saluran Astro First Esklusif & Astro Best, Sharmin Parameswaran berkata dalam kenyataan, Mandatori mempunyai nilai kandungan yang berkualiti dan boleh dibawa menjelajah ke luar negara.

“Persaingan dalam industri penyiaran dan kandungan tempatan mahupun luar negara dilihat semakin kompetitif terutamanya apabila audiens kini memiliki lebih pilihan dari aspek tontonan, sama ada di platform linear mahupun digital.

“Justeru, penting untuk kami tampilkan kepelbagaian dari segenap sudut terutamanya dari segi genre sesebuah produk itu dan penglibatan nama-nama yang berpengalaman di hadapan dan di belakang tabir,” katanya.

“Paling utama, kandungan yang diangkat ke platform Astro First Eksklusif perlulah berkualiti tinggi, memiliki nilai-nilai komersial, unik serta mempunyai identitinya yang tersendiri,” kata Sharmin.

Novel ‘Mandatori’ merupakan salah satu dari 35 karya tulisan Ramlee yang masih lagi mendapat tempat di hati ramai dan ia terbukti apabila kebanyakan hasil penulisan beliau diulang cetak untuk menepati permintaan ramai.

Ia pertama kalinya diterbitkan pada 2003 oleh Alaf 21 Sdn Bhd, anak syarikat Grup Buku Karangkraf.

Mandatori bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 14 Dis dan dengan RM19.10, penonton boleh menikmati kesemua enam episod dengan berulang kali dalam tempoh lima hari dari waktu pembelian. — Bernama

Advertisement