Anda di sini

Feri bawa 300 terkandas di pelabuhan Calais

Advertisement
 Orang ramai memerhatikan operasi kapal tunda yang berusaha melepaskan feri Pride of Kent yang terkandas akibat cuaca buruk di Calais, utara Perancis kelmarin. — Gambar Reuters
MENCEMASKAN: Orang ramai memerhatikan operasi kapal tunda yang berusaha melepaskan feri Pride of Kent yang terkandas akibat cuaca buruk di Calais, utara Perancis kelmarin. — Gambar Reuters

CALAIS: Sebuah feri yang membawa lebih 300 orang telah terkandas kelmarin ketika angin kuat di Calais di utara Perancis, mengganggu trafik di salah satu pelabuhan penumpang paling sibuk di Eropah namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Terkandas selama beberapa jam, kapal P&O Pride of Kent berjaya dilepaskan dan penumpang akhirnya telah dapat dikeluarkan.

Jurucakap syarikat perkapalan Karine Warnault memberitahu, para penumpang kemudiannya diberikan makanan dan minuman.

Feri Pride of Kent terkandas waktu tengah hari selepas ia melanggar jambatan mudah alih ketika hendak belayar ke Dover, destinasinya di Britain.

Ketika meninggalkan pelabuhan, feri tersebut sebenarnya perlu keluar secara mengundur,” jelas presiden pelabuhan Jean-Marc Puissesseau.

Ketika berundur ada kemungkinan besar Pride of Kent telah dilanda tiupan angin kuat.”

P&O menyatakan kapal tersebut telah ditolak angin ke bahagian lain di pelabuhan tersebut.

Pihak wilayah menyatakan terdapat 208 penumpang di dalamnya, di samping 105 kru dengan jumlah keseluruhan 313 orang.

Kapal tersebut turut membawa 74 lori, sebuah bas dan 36 kenderaan lain.

Dua kapal tunda telah digunakan untuk melepaskan feri yang terkandas itu, menurut koresponden AFP di tempat kejadian, namun angin yang bertiup sekuat 110 kilometer sejam telah membuatkan tugas itu menjadi sukar.

Operasi terakhir memerlukan tiga kapal tunda yang lebih kuat, yang tiba lewat tengah hari dari Dunkirk dan Boulogne-sur-mer.

Trafik laut di antara Calais dan Dover pula terganggu sepanjang hari, namun sebahagian daripadanya kembali beroperasi pada lewat tengah hari.

Semasa operasi, lebih 10 kapal terpaksa menunggu selama beberapa jam di luar pantai, sebelum dibenarkan untuk memasuki pelabuhan.

Lebih sembilan juta penumpang menggunakan Calais untuk menyeberangi Selat Inggeris pada 2016, menurut kepada statistik rasmi. — AFP

Advertisement