Anda di sini

Eropah dilanda salji luar biasa tebal

Advertisement

Britain, Perancis, Jerman paling teruk terjejas, pengangkutan kucar-kacir

 Sebuah kereta tersadai di tepi jalan setelah terbabas ke kawasan berbatu di salah satu jalan luar bandar di Derbyshire, utara England kelmarin. — Gambar AFP
LUAR BIASA: Sebuah kereta tersadai di tepi jalan setelah terbabas ke kawasan berbatu di salah satu jalan luar bandar di Derbyshire, utara England kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Penurunan salji paling lebat dalam sejarah empat tahun di Britain telah menyebabkan kekecohan pelancongan kelmarin, ketika lebih 300 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang paling sibuk di Jerman dan sebuah feri terkandas di pelabuhan Calais di Perancis.

Ratusan penumpang udara terkandas di Frankfurt, hab kewangan Jerman, termasuk Britain, dan ramai mengadu menerusi Twitter.

Kira-kira 330 penerbangan dibatalkan jam 5 petang waktu tempatan selepas ribut tebal dan suhu bawah sifar melanda wilayah di sekitar Frankfurt, kata jurucakap syarikat lapangan terbang Fraport.

Lapangan terbang tersebut, hab udara terbesar di Jerman dan pangkalan syarikat penerbangan utama Lufthansa, dijadual menangani 1,260 penerbangan sepanjang hari tersebut.

Lapangan terbang Duesseldorf terpaksa ditutup selama empat jam sepanjang tengah hari, lapor agensi berita DPA.

Sementara itu, kereta api ditangguhkan, diubah hala atau dibatalkan di sekitar wilayah barat North Rhine-Westphalia.

Di Britain, lapangan terbang Birmingham, bandar kedua terbesar di negara itu, menyaksikan kakitangan berusaha untuk membersihkan landasan yang diselaputi salji tebal.

Lapangan terbang itu biasanya menguruskan kira-kira 30,000 penumpang dan 200 penerbangan sehari pada Disember.

Ia telah mengubah hala 11 penerbangan dan menjangkakan membatalkan lebih banyak lagi, menurut jurucakap.

Lapangan terbang Luton di London menutup laluannya selama dua jam sebelum dibuka semula kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan untuk pesawat yang berlepas, menurut jurucakap.

Pasukan polis di Wales dan tengah England yang terbeban menggesa pengguna jalan raya agar tidak pergi ke mana-mana kecuali benar-benar penting ketika mereka berdepan permintaan yang bertambah.

Jurucakap agensi Highways England menyatakan terdapat beberapa insiden jalan raya di semua tempat.

Beberapa kawasan di Britain dilanda penurunan salji, terutama di wilayah tengah dan barat, menurut perkhidmatan cuaca rasmi.

Sennybridge, di Taman Negara Brecon Beacons di Wales, mendahului rekod dengan saji setebal 30 sentimeter (sm), sementara Coleshill, berhampiran Birmingham, menerima salji setebal 10sm, lapornya.

Sementara itu, salji ringan dan hujan beku turun sepanjang pagi di London, menyebabkan Northolt, di luar ibu negara, dengan satu lapisan setinggi dua sm, menurut Pejabat Met.

Kami telah melalui keadaan lebih buruk seperti ini,” menurut jurucakap Oli Claydon pada awal tengah hari.

Claydon menyatakan kali terakhir Britain melihat salji tebal seperti ini adalah pada Mac 2013, dan semasa musim sejuk pada 2010.

Di Perancis, feri dengan lebih 300 orang terkandas akibat angin kuat di Calais, mengganggu operasi di salah satu pelabuhan penumpang paling sibuk di Eropah tapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Di kawasan lain di Perancis, 32 bahagian ditempatkan dalam amaran jingga dengan angin sekuat lebih 100 kilometer diramalkan di beberapa kawasan.

Di utara wilayah Pas-de-Calais dan Nord, kira-kira 20,000 rumah terputus bekalan elektrik akibat angin sekuat taufan, menurut syarikat bekalan elektrik Enedis.

Hujan lebat turut membawa kepada penutupan dua lapangan terbang di pulau Corsica di Mediterranean Perancis, termasuk di ibu negeri Ajaccio.

Angin kuat turut melanda utara Portugal di mana seorang wanita berusia 45 tahun mati setelah sebatang pokok tumbang ke atas keretanya berhampiran bandar Porto, menurut Luis Belo Costa daripada agensi perlindungan awam. — AFP

Advertisement