Anda di sini

Sarawak sumbang RM92,000 kepada Tabung Alumni UKM

Advertisement

KUCHING: Tabung Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan sebanyak RM92,000 pada Majlis Santapan Diraja Bersama Alumni UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM Bangi, di Selangor, malam kelmarin.

 Daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 disumbangkan oleh Persatuan Alumni UKM Sarawak dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk kategori pakej Permata.

 Awang Tengah merupakan penaung Persatuan Alumni UKM Sarawak.

 Penyerahan cek disampaikan oleh Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi merangkap presiden Persatuan Alumni UKM Sarawak kepada Canselor UKM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

 Zecon Bhd turut menyumbang RM30,000 bagi pakej Platinum, yang disampaikan oleh Pengarah Kumpulan Zecon Bhd Datuk Zainal Abidin Ahmad.

 Manakala baki sumbangan adalah daripada hasil jualan meja majlis tersebut.

 Majlis turut dihadiri Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan lebih 30 ahli Persatuan Alumni UKM Sarawak.

 Pada malam itu, logo Majlis Alumni UKM turut dilancarkan.

Advertisement