Anda di sini

Lebih banyak pihak diharap membantu rumah kebajikan kanak-kanak

Advertisement

KUCHING: Lebih banyak pihak diharapkan tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada rumah kebajikan kanak-kanak di negeri ini.

 Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada golongan kanak-kanak kurang bernasib baik itu amat bermakna kepada mereka, yang secara tidak langsung akan menjadikan khidmat bakti tersebut sebagai inspirasi kepada mereka untuk turut membantu masyarakat apabila dewasa kelak.

 “Tidak kira apa jua dari segi motivasi, pendidikan, tenaga, kewangan dan sebagainya, datanglah menyumbang supaya kita dapat menyediakan persekitaran yang lebih baik dan membawa keceriaan kepada anak-anak ini.

 “Ini akan memberi semangat kepada mereka untuk mengharungi kehidupan dan berjaya pada masa depan, supaya dapat menyumbang kepada negeri dan masyarakat,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Khidmat Komuniti anjuran Institut Kajian Pembinaan Malaysia (CREAM) di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di sini, semalam.

 Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut yakin bahawa walaupun kecil sumbangan dan program yang dijalankan di rumah kebajikan kanak-kanak, ia akan memberi impak yang besar terutama kepada pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi serta mental yang sihat kepada anak-anak terbabit.

 “Anak-anak inilah yang suatu hari nanti akan menjadi profesional dan pemimpin yang akan membangunkan negara ini mengikut aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagaimana yang dicita-citakan oleh kepimpinan negara,” katanya.

 Justeru, beliau memuji inisiatif CREAM yang menjalankan program tanggungjawab sosial korporat di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

 “Saya berharap semangat kesepakatan dan kerjasama ini disemarakkan di kalangan kita semua dan menjadi budaya positif yang perlu sentiasa diamalkan, agar kita terus dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

 Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif CREAM Dr Zuhairi Abdul Hamid, Pengarah CIDB Mohd Merzan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Umadi Polot dan Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah yang juga Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak Nor Hisham Mohammad.

Advertisement