Anda di sini

Minat terhadap sape bawa Hikaru ke bumi Dayak

Advertisement

TOKYO: Hikaru Yokoyama memetik sape kesayangannya dengan penuh penghayatan ketika  memainkan sebuah lagu Kenyah berjudul ‘Leleng’ ketika orang ramai sibuk membeli-belah di AEON Makuhari Shintosin Mall, di sini baru-baru ini.

Dengan memakai baju hitam lengan panjang dihiasai motif kebanggaan Orang Ulu serta mengenakan ‘lavung tepo’ (topi Orang Ulu), kehadiran anak jati Tokyo berusia 22 tahun itu serta muzik etnik yang dimainkannya, begitu menyerlah dan menarik perhatian ramai.

Sekali sekala, Hikaru mengukir senyuman kepada penonton yang kelihatan terpesona dengan irama Borneo yang dimainkannya.

Walaupun mula belajar memainkan alat muzik itu belum sampai setahun, tetapi minat Hikaru terhadap sape lahir sejak lebih dua tahun lepas apabila beliau dengan tidak sengaja berkenalan dengan muzik berkenaan ketika  melayari Youtube. 

“Saya amat terpesona ketika pertama kali mendengar muzik. Melodinya boleh meremangkan perasaan, tetapi mendamaikan jiwa. Belum pernah saya dengar bunyi-bunyian seperti itu sebelumnya,” kata mahasiswa jurusan Pengajian Melayu di Tokyo University of Foreign Studies kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Foto dari Facebook Hikaru
Foto dari Facebook Hikaru

Sejak itu, Hikaru tertarik untuk meneroka dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang sape daripada Internet serta buku dan dalam usaha itu, beliau berkenalan dengan beberapa pemain sape, termasuk Jerry Kamit dari Sarawak dan Julien Cottet dari Perancis. 

Minat Hikaru terhadap sape yang semakin mendalam meruntun jiwanya untuk berkunjung ke Sarawak bagi mempelajari tentang alat muzik itu secara langsung daripada penduduk tempatan.

Menurut Hikaru, peluang itu tiba selepas beliau memohon dan diterima mengikuti latihan dengan sebuah syarikat pelancongan Jepun di cawangannya di Kuching.

“Saya tiba di Kuching Februari tahun ini dan kunjungan ke sana benar-benar membuka mata saya. Saya didedahkan kepada keindahan budaya masyarakat di sana.

“Paling menggembirakan, saya akhirnya berpeluang bertemu dengan idola saya. Perkara yang saya impikan sebelum ini, akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Hikaru kemudian ditempatkan untuk berguru dengan Cottet dan beliau menghabiskan masa selama enam bulan di Sarawak untuk belajar menguasai kemahiran bermain alat muzik itu daripada Cottet dan beberapa pemain sape lain.

“Itulah detik-detik yang tidak ternilai harganya bagi diri saya semasa di Sarawak. Cottet juga membantu mendapatkan sape pertama untuk saya. Ia berharga RM700,” katanya.

Apabila kembali ke Tokyo, Hikaru memperkenalkan alat muzik itu kepada rakan-rakannya dan memainkan alat itu dalam persembahan secara solo atau dengan kumpulan muziknya.

Selain berlatih memainkan lagu tradisional Orang Ulu dan Iban yang dipelajarinya semasa di Sarawak dulu, Hikaru juga cuba memainkan lagu Jepun dan lagu pop moden dengan menggunakan alat itu.

“Saya ingin hasilkan lebih banyak muzik fusion dan memperkenalkan lut comel ini kepada lebih banyak penonton dan masyarakat Jepun,” katanya.

Hikaru berkata beliau merancang untuk berkunjung semula ke Sarawak setelah tamat pengajian pada 2019.

“Sekarang pun, saya mula mencari syarikat Jepun yang mempunyai pejabat cawangan di sana dan malah, bercadang untuk memulakan kerjaya saya di sana. Saya pasti akan ke sana lagi,” katanya sambil tersenyum dan dengan penuh yakin. - BERNAMA

Advertisement