Anda di sini

Remaja lelaki dipenjara dua bulan kerana ugut bunuh abang kandung

Advertisement

MIRI: Seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan mengugut mahu membunuh abang kandungnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 4 November lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh yang merupakan pesalah muda, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Roland Sanjan Berayun, 19, dari Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh abang kandungnya, Sylvester Gandai Berayun, 22, sambil mengacukan sebilah parang ke arah muka mangsa.

Sebelum itu, tertuduh juga telah beberapa kali menampar muka mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.15 petang, 4 November lalu di rumah keluarganya di Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara dua bulan ke atas seorang penganggur setelah mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh ke atas seorang lelaki lain.

Majistret Zuraini Ali Musa memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 15 November lalu.

Salihin Nori, 38, telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh Muammar Mutie Moini menggunakan sebatang kayu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5 petang, 14 November lalu di hadapan sebuah rumah di Jalan Desa Indah 2 Bandar Baru Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement