Anda di sini

Tipu tiket penerbangan, jel 20 bulan

Advertisement
 Alfizah (kiri) dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret selepas dijatuhi hukuman penjara 20 bulan.
MENGAKU SALAH: Alfizah (kiri) dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret selepas dijatuhi hukuman penjara 20 bulan.

SIBU: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat penerbangan dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas 51 pertuduhan menipu.

Tertuduh, Alfizah Ahmad, 35, didakwa menipu Mona Lisa, 35, dengan memperdayakan mangsa untuk percaya bahawa dia boleh membantu mangsa menempah tiket penerbangan domestik dan antarabangsa dengan harga murah.

Akibat diperdaya oleh tertuduh, mangsa kerugian sebanyak RM34,328.70.

Alfizah didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 April 2017 dan 27 Julai 2017 dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Ian Lee dalam rayuannya memberitahu bahawa dia telah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia 16 dan 17 tahun.

Selepas kejadian itu, tertuduh telah diceraikan dengan ‘talak satu’ oleh suaminya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurut Ian, tertuduh sebelum itu merupakan Pengurus Bertugas (Duty Manager) di sebuah syarikat penerbangan dan terpaksa meletakkan jawatan pada Mac 2017.

Kesemua 51 pertuduhan itu, katanya, hanya melibatkan seorang mangsa.

Tertuduh, katanya, juga kesal dengan apa yang telah berlaku.

Advertisement