Anda di sini

Mungkin kerana hutang

Advertisement

Teman lelaki ditahan dipercayai terlibat kes bunuh wanita dibungkus guni, dibuang ke sungai.

 Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri sebaik tangkapan pada awal pagi 4 Disember lalu kerana disyaki membunuh teman wanitanya.
KES SELESAI: Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri sebaik tangkapan pada awal pagi 4 Disember lalu kerana disyaki membunuh teman wanitanya.

MIRI: Polis tidak menolak kemungkinan hutang merupakan motif utama dalam kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dijumpai terapung di Sungai Miri berhampiran Kampung Pulau Melayu di sini pada 2 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar ketika mengadakan sidang media di sini pagi semalam memberitahu, identiti mayat itu juga telah dikenal pasti.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Yeong Musa, 52, berasal dari Mukah dan merupakan seorang ibu tunggal dengan empat anak.

Mayat mangsa telah disahkan oleh anak lelakinya berdasarkan pakaian yang dipakai dan tanda lahir yang terdapat pada badan mangsa.

Menurut Dev, berdasarkan keadaan mayat yang menjurus kepada unsur jenayah, kes telah disiasat sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasukan siasatan telah menyemak laporan polis orang hilang di daerah-daerah berdekatan termasuk memanggil ahli keluarga pelapor untut mengecam mayat.

Pada 3 Disember, kita berjaya mengesan satu laporan polis yang telah dibuat di Balai Polis Mukah berhubung seorang wanita berketurunan Melanau berusia 52 tahun yang telah keluar rumah sejak 27 November lalu dan tidak pulang ke rumah,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Miri DSP Lee Swee Sake serta pegawai kanan polis lain.

Berikutan itu, katanya, ahli keluarga pelapor dipanggil untuk mengecam mayat dan pengecaman positif berdasarkan baju yang dipakai oleh mangsa.

Sementara itu, menurut Dev, sekitar jam 7.30 pagi 4 Disember lalu di hadapan sebuah kedai di Pusat Komersil Pelita, polis berjaya menangkap seorang suspek berusia 25 tahun yang merupakan teman lelaki mangsa kerana dipercayai terlibat dalam kes itu.

Semasa tangkapan dibuat, katanya, polis turut merampas sebuah kereta milik suspek yang dipercayai tempat terakhir mangsa berada sebelum mayatnya dibuang ke sungai.

Selain itu, katanya, polis juga merampas sebuah kereta milik mangsa di kawasan Senadin yang sebelum ini diserahkan kepada suspek untuk dibaiki.

Hasil siasatan awal polis, katanya, mendapati mangsa telah datang ke Miri menaiki bas dari Mukah pada 27 November lalu untuk berjumpa suspek dengan hasrat mengambil keretanya dan pada masa sama, menuntut hutang daripada suspek.

Justeru, kita tidak menolak kemungkinan hutang merupakan motif utama suspek tergamak membunuh mangsa dan kita percaya pembunuhan telah dilakukan pada 30 November lalu.

Mayat mangsa yang lengkap berpakaian dengan kepala dibungkus menggunakan guni serta diikat di bahagian pinggang telah dijumpai pada jam 6.30 pagi, 2 Disember lalu iaitu tiga hari selepas pembunuhan tersebut,” jelas beliau.

Katanya, apa yang menarik dalam kes ini ialah kepantasan pasukan penyiasat diketuai DSP Lee Swee Sake kerana berjaya memberkas suspek terlebih dahulu sebelum identiti mangsa dikenal pasti.

Syabas saya ucapkan kepada anggota BSJD Miri atas kejayaan anda menyelesaikan kes ini dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.

Sementara itu, suspek yang bekerja sendiri kini sedang direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan tempoh reman akan tamat pada 11 Disember ini.

 Dev (kanan) dan Stanley (dua kanan) menunjukkan kereta milik suspek yang dirampas untuk dijadikan barang kes.
BARANG KES: Dev (kanan) dan Stanley (dua kanan) menunjukkan kereta milik suspek yang dirampas untuk dijadikan barang kes.
  • oleh
  • Advertisement