Anda di sini

22 Disember sebutan lanjut kes sepasang kekasih hadapi dua tuduhan miliki syabu

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan lanjut kes sepasang kekasih yang menghadapi dua tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu.

Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut masing-masing RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan pegawai pendakwa ASP Mary Ong yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Pek Thiam Chai, 58, dari Lorong 9 Bandar Baru Permyjaya dan Juliza Basni, 31, dari Tudan Desaras di sini telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarkan tuduhan pertama, kedua-dua tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.59 gram.

Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 pagi, 27 November lalu di sebuah rumah di Lorong 9 Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.

Manakala dalam tuduhan kedua, kedua-dua tertuduh telah dituduh melakukan kesalahan serupa dengan memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.64 gram (berat kasar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada masa dan di tempat yang sama.

Advertisement