Anda di sini

Kes buang bayi, pasangan kekasih muda dicekup

Advertisement
 Keratan laporan akhbar semalam mengenai penemuan bayi tersebut.
MENYEDIHKAN: Keratan laporan akhbar semalam mengenai penemuan bayi tersebut.

SIBU: Polis menahan pasangan kekasih muda semalam untuk membantu siasatan kes buang bayi di Kampung Bahagia Jaya di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Khoo berkata, suspek wanita yang dianggarkan berusia 12 ditahan sekitar jam 10 pagi semalam.

Ujarnya, suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri mengaku telah melahirkan bayi berkenaan sekitar jam 6 petang pada Ahad lalu di dalam tandas rumahnya.

“Buntu dan bimbang perkara itu diketahui orang lain termasuk ahli keluarganya, suspek telah menyembunyikan bayi tersebut di dalam almari, ruang stor, bawah rumah kayu kediamannya.

“Sejak itu, suspek membiarkan bayi tersebut di situ tanpa berbuat apa-apa,” katanya.

Martin berkata, suspek juga mengaku kehamilan dan kelahiran bayi tersebut tidak diketahui oleh sesiapa termasuk kedua-dua ibu bapa angkatnya walaupun mereka tinggal di rumah yang sama.

Selain itu, suspek semasa disoal siasat turut mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya pada penghujung tahun 2016.

Menurut Martin, suspek yang tidak bersekolah telah pun dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Katanya, polis juga telah menahan teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 sebuah sekolah menengah di sini sekitar jam 3 petang semalam.

Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat oleh pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (melibatkan mangsa bawah umur).

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang kelmarin, seorang bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan ditemui ditinggalkan di dalam sebuah stor di bawah sebuah rumah di Kampung Bahagia Jaya.

Bayi masih bertali pusat itu dijumpai cucu perempuan pemilik rumah berkenaan yang berusia 17 tahun sebelum menyerahkannya kepada Hospital Sibu.

Difahamkan remaja perempuan terbabit terdahulu terdengar bunyi mencurigakan di bawah rumah sebelum keluar untuk memeriksanya.

Tersentak dengan penemuan bayi itu, dia kemudian memanggil ahli keluarganya serta jiran berdekatan.

Polis turut dimaklumkan mengenai penemuan bayi terbabit.

Advertisement