Anda di sini

Jaslin Puasa & Sean Lee dekati etnik Sabah, Sarawak dalam program ‘Etnisiti’ di TV1

Advertisement
 Hos menemubual salah seorang tetamu dalam program terbaru ‘Etnisiti’, akan datang di di TV1.
MENARIK: Hos menemubual salah seorang tetamu dalam program terbaru ‘Etnisiti’, akan datang di di TV1.

PERKATAAN ‘Etnisiti’ merujuk kepada rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama.

Menerusi program terbaharu bertajuk ‘Etnisiti’ yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 7 Disember ini, setiap Khamis, jam 4.30 petang di TV1, penonton dibawa menjelajah ke negeri di Malaysia untuk menemui kaum-kaum etnik tertentu di kawasan halaman masing-masing.

Menampilkan gandingan hos Sean Lee dan Jaslin Puasa, fokus program 13 episod ini tertumpu kepada kepelbagaian etnik di Sarawak dan Sabah.

Pengisian program meninjau, memerhatikan dan cuba memahami cara hidup, aktiviti ekonomi dan budaya komuniti ini melalui ‘experiential learning’ iaitu dengan menginap di tempat mereka dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian. Penonton diberi penjelasan mengenai pelbagai aspek kehidupan masyarakat etnik ini.

Kumpulan etnik di Sarawak mempunyai bahasa, kebudayaan, dan cara kehidupan yang tersendiri. Etnik di Sarawak terbahagi mengikut kawasan penem-patan seperti persisiran pantai, lembah sungai, daerah pendalaman, dan kawasan tanah tinggi.

Kawasan yang paling padat dengan penduduk ialah di dataran pantai, lembah sungai di bahagian barat Kuching, dan kawa-san antara Sungai Kayan dengan Sungai Mukah.

Corak penempatan dan taburan penduduk yang berselerak di Sarawak menyebabkan mereka tidak banyak berhubung dengan orang luar.

Keadaan ini mendorong setiap kelompok etnik membentuk identiti kebudayaan masing-masing mengikut persekitarannya. Antara yang ditonjolkan iaitu mengenai kaum Kelabit.

Mereka memberi penerangan mengenai aktiviti ekonomi, budaya, makanan dan cara hidup kaum ini. Pendedahan mengenai kaum etnik ini sebagai salah satu kaum pribumi negara ini dibuat melalui penyertaan secara langsung dalam aktiviti seharian seperti menanam padi Bario, memasak sayur tengayan dan pucuk ubi kayu, makan bersama-sama dan penglibatan dalam aktiviti kebudayaan iaitu tarian muzik diiringi dengan muzik sape serta memakai rantai yang diperbuat daripada manik.

Kunjungan di Kg. Long Beruang bandar Bario meninjau cara hidup komuniti etnik Penan. Mereka tinggal di rumah kampung dan mengambil bahagian dalam aktiviti memburu dalam hutan pada waktu siang dan malam untuk makanan.

Selain dari itu mereka belajar memasak makanan tradisi dengan ubi kayu.

Penonton diberi penerangan mengenai aktiviti ekonomi tradisional dan budaya orang Penan serta bagaimana mereka melalui proses perubahan dari satu komuniti yang bergantung kepada hasil hutan kepada satu yang bercucuk tanam sendiri.

Seterusnya berkenalan dengan masyarakat Kaum Kayan atau Dayak yang menetap di kawasan itu. Kaum ini lebih gemar dipanggil Orang Ulu.

Hos rancangan telah disambut dengan tarian tradisional. Mereka juga telah menyertai aktiviti harian kaum Kayan seperti menangkap udang dan pembikinan alat muzik ‘sape’, penyediaan jerat pijak dan masakan tapai.

Di Mukah Sarawak, penonton dibawa melihat cara hidup kaum etnik Melanau di Kampung Petanak. Kaum ini suka menetap di kawasan paya bakau berhampiran dengan Laut Cina Selatan.

Hos juga turut menjelajah ke Kampung Mongkos, Serian untuk meninjau budaya, cara hidup dan aktiviti ekonomi kaum etnik Bidayuh. Kaum etnik ini merupakan yang kedua terbesar di Sarawak dan menginap di kawasan Barat Daya, Sarawak seperti Serian, Kuching dan Kalimantan Barat.

Episod seterusnya Jaslin Puasa dan Sean Lee, mengunjungi satu-satunya Rumah Panjang kaum etnik Bidayuh Salako di Kampung Pueh, Semantan, Sarawak.

Mereka disambut dengan tarian ‘toh-toh’ dan bermalam di rumah panjang. Mereka telah mengambil bahagian dalam sebahagian aktiviti harian orang kampung.

Ikuti juga perkongsian cara hidup kaum Iban iaitu kaum etnik yang terbesar di negeri ini. Mereka disambut secara tradisional oleh penduduk Kampung Sg Menyan yang terletak 35 minit dari jeti di Bandar Sibu.

Mengujakan pastinya kunjungan di Pulau Mabul di Sabah meninjau kehidupan kaum Bajau Laut melihat sebahagian aktiviti harian orang laut ini.

Di antara lain aktiviti yang telah disaksikan ialah menembak atau memanah ikan dengan menggunakan peralatan khas, membuat perahu, muzik dan tarian tradisional seperti ‘Igal-Igal’ dan makanan seperti ‘putu ubi kayu yang dimakan dengan ‘gamat’.

Mereka juga sempat melihat kanak-kanak menghadiri sekolah-sekolah ko-kurikulum yang dijalankan secara sukarela oleh NGO bagi golongan yang miskin.

Ikuti banyak lagi episod menarik mengenai etnik-etnik lain dalam program baharu ini hanya di TV1 setiap hari Khamis mulai 7 Disember 2017 ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my).

Advertisement