Anda di sini

Suami isteri hadapi pertuduhan seleweng wang umrah RM40,380

Advertisement

KUANTAN: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyeleweng dan bersubahat menyeleweng wang umrah milik seorang mangsa berjumlah RM40,380.

Tertuduh Mohd Pirus Yusof Khan, 47 dan isteri Nur Sureena Intachat Abdullah, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Pirus yang diamanahkan sebagai ejen di KRS Travel Sdn Bhd Cawangan Kuantan telah melakukan pecah amanah dengan menyeleweng wang umrah kepunyaan Ramli Hamid, 62, berjumlah RM40,380.

Kesalahan dilakukan di sebuah pejabat agensi pelancongan, di Jalan Bukit Sekilau, di sini antara bulan September hingga November lepas.

Isterinya pula menghadapi tuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu, di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih 20 tahun dengan sebatan.

Pendakwaan dilakukanTimbalan Pendakwa raya Fatinah  Abu Bakar.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dan tarikh sebutan semula kes pada 9 Jan depan.

Pasangan suami isteri itu ditahan pada 28 Nov lalu selepas dipercayai terbabit dalam kes penipuan umrah membabitkan kerugian lebih RM350,000.

Mereka yang dijejak polis sejak lima bulan lalu ditahan, susulan daripada laporan polis terbaru seorang guru yang mendakwa mengalami kerugian lebih RM40,000. — Bernama

Advertisement