Anda di sini

Rasuah RM700: Lelaki Bangladesh dipenjara sebulan, denda RM10,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Bangladesh dihukum penjara sebulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana memberi rasuah wang tunai RM700 kepada seorang pengawal keselamatan, minggu lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Tarek Khurshed Miah, 38, selepas dia mengaku bersalah memberi suapan wang itu kepada Shaiful Azlan Sulaiman pengawal keselamatan di  Syarikat Keselamatan Resaksa Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan supaya Shaiful Azlan tidak melaporkan kepada pihak polis tentang perbuatan tertuduh yang disyaki telah melakukan kesalahan memalsukan dokumen.

Lelaki itu, yang sudah 10 tahun tinggal di negara ini, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Pengawal Kedutaan Bangladesh, Wisma HRIH Lotus Jalan Pahang, di sini pada jam 1 petang, 29 November lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Nov lalu dan dia juga diperintahkan menjalani  hukuman penjara enam bulan jika dia gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Tarek yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama manakala Pegawai Pendakwa SPRM, Atiqah Ab Razak memohon hukuman berbentuk pengajaran.

“Rasuah adalah satu kesalahan serius. Ia boleh menjadi barah yang merosakkan masyarakat,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadianketika pengadu (Shaiful Azlan) dan rakan setugasnya yang mengawal di pintu keluar masuk Kedutaan Bangladeash didatangi seorang lelaki warga Bangladesh dikenali Md Mahduj Khan untuk membuat pasport pengesahan bagi pembetulan tarikh lahir.

Hasil pemeriksaan mendapati, nama pada draf bank dan borang permohonan kutipan tidak sama dan hasil siasatan mendapati Md Mahduj  Khan mendapat dokumen berkenaan daripada tertuduh.

Ketika pihak keselamatan syarikat membuat keputusan untuk menyerahkan tertuduh dan Md Mahduj Khan kepada pihak polis, tertuduh bertindak menawarkan RM700 kepada Shaiful Azlan sebelum dia diserahkan kepada SPRM  untuk tindakan lanjut.— Bernama

Advertisement