Anda di sini

Peniaga dihadap ke mahkamah sebabkan frekuensi radio terganggu

Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyebabkan pancaran radio yang boleh menyebabkan frekuensi radio di sesuatu kawasan terganggu daripada alat komunikasi yang tidak standard dan tiga pertuduhan menggunakan alat kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.

Abdul Jabbar Mohamad Sulaiman, 57, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Bagi pertuduhan menye-babkan suatu pancaran radio yang merupakan pertuduhan buat kali pertama di Malaysia, Abdul Jabbar didakwa tanpa alasan yang munasabah menyebabkan suatu pancaran radio (yang boleh menyebabkan frekuensi radio di kawasan terbabit terganggu) daripada kelengkapan yang tidak standard iaitu satu unit Detec Phone (telefon tanpa kord) jenama Panasonic model KX-TG4741 (pemegang) dan KX-TGA470 (gagang telefon).

Abdul Jabbar turut didakwa melakukan perbuatan sama dengan menggunakan kelengkapan yang tidak standard iaitu satu unit Detect Phone (telefon tanpa kord) jenama Panasonic model PNLC1029 (pemegang) dan KX-TGA470 (gagang telefon).

Bagi tuduhan tersebut lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 238 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga hingga kelima pula Abdul Jabbar didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu satu unit Caller Id Converter model EM-3100, satu unit Detec Phone (telefon tanpa kord) jenama Panasonic model KX-TG4741 (pemegang) dan KX-TGA470 (gagang) serta satu unit Detect Phone (telefon tanpa kord) jenama Panasonic model PNLC1029 (pemegang) dan KX-TGA470 (gagang).

Dia yang diwakili peguam S. Raveentharan didakwa di bawah Peraturan 16 (1) (b) Peraturan-Peraturan komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum dibawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di No 5, Jalan Desiran Tanjung 5, Tanjung Tokong di sini pada jam 12 tengah hari, 24 Feb 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria mencadangkan supaya Abdul Jabbar dibebaskan dengan jaminan RM5,000.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan memandangkan Abdul Jabbar merupakan orang kena saman.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement