Anda di sini

Pecah masuk rumah hakim, bapa tiga anak dipenjara lima tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bapa tiga anak dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memecah masuk rumah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Balia Yusof Wahi, dan mencuri barang bernilai RM11,300.

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Norfais Ishak, 22, selepas lelaki itu yang bekerja sebagai kelindan lori mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 23 Okt lepas.

 Ahmad Norfais didakwa telah melakukan pecah rumah melalui tingkap tandas dalam bilik dan mencuri barang-barang  antaranya tiga kamera jenama Nikon, Go Pro dan komputer riba milik Datuk Balia Yusof, 65, yang semuanya bernilai RM11,300 di rumah mangsa di Jalan Kent 4, di sini, pada 6.10 pagi, 22 Okt lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan denda dan jika kesalahan yang dimaksudkan hendak dilakukan itu ialah kesalahan mencuri maka tempoh pemenjaraan itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Ernie Ahmad merayu supaya dikenakan hukuman penjara paling minimum dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Ketika kejadian itu, anak guam saya terdesak kerana sedang berdepan dengan masalah kewangan. Dia kini menyedari bahawa mencuri bukan jalan penyelesaian terbaik,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal kerana itu adalah kesalahan serius agar menjadi pengajaran kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama. — Bernama

Advertisement