Anda di sini

Mahkamah Tinggi putuskan rumah kedai Kampung Datu milik SUPP

Advertisement

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan tiga unit rumah kedai di Jalan Kampung Datu adalah milik Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). 

Pesuruhjaya Kehakiman Dean Wayne Daly ketika membuat keputusan itu berkata, pihak plaintif yang juga ahli SUPP berjaya membuktikan rumah kedai itu adalah milik parti. 

"Hartanah (rumah kedai) ini dipegang oleh pihak defendan (Twinswood Sdn Bhd) atas kepercayaan yang diberikan oleh SUPP," katanya. 

Hartanah itu kini menempatkan lima cawangan SUPP iaitu Bukit Assek, Bawang Assan, Dudong, Pelawan dan Nangka.

 Selain memerintahkan hartanah itu dipindahkan kepada SUPP, Dean juga mengarahkan Twinswood membayar kos guaman sebanyak RM100,000. 

Mahkamah juga menolak semua tuntutan balas yang dikemukakan oleh Twinswood selaku pihak defendan dalam kes tersebut.

Plaintif dalam kes ini ialah tiga pemimpin SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, Dato Sebastian Ting Chiew Yew dan Ding Kuong Hiing. 

SUPP diwakili oleh peguam Sunny Si, Andin Linton, Tonny Hii dan Laura Kong sementara George Lo, Jonathan Tay dan Carole Ngu mewakili Twinswood. 

Hadir sama di mahkamah ialah pengerusi SUPP Bukit Assek, Chieng Buong Toon, Robert Lau Hui Yew (Bawang Assan), Clarence Ting (Pelawan) serta lebih 20 ahli SUPP. 

Salah seorang pemegang saham Twinswood, Penghulu Siek King Kuong turut hadir. 

Pada 8 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan di Kuching sebulat suara membenarkan rayuan oleh Twinswood terhadap penghakiman ingkar yang diperoleh tiga pemimpin tertinggi SUPP berhubung pemilikan tiga unit rumah kedai di Kampung Datu. 

Twinswood memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sibu pada 11 Mac tahun lepas, apabila mahkamah menolak permohonan syarikat itu untuk mengetepikan penghakiman ingkar dengan kos RM5,000. 

Pada 24 Ogos 2015, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan ketiga-tiga unit rumah kedai di Jalan Kampung Datu itu dipindahkan kepada SUPP. 

Difahamkan tiga unit rumah kedai di Jalan Kampung Datu itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat iaitu Twinswood Sdn Bhd, dengan 50 pemegang saham sejak tahun 1988. Pemegang saham ini adalah ahli SUPP sebelum ini. 

SUPP memfailkan saman untuk menuntut hartanah itu dari Twinswood semasa sambutan ulang tahun SUPP pada 2 Jun 2015.

Ahli-ahli SUPP meraikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada mereka berhubung perebutan tiga unit rumah kedai di Jalan Kampung Datu
Ahli-ahli SUPP meraikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada mereka berhubung perebutan tiga unit rumah kedai di Jalan Kampung Datu.
  • oleh
  • Advertisement