Anda di sini

Kontroversi vaksin denggi di Filipina

Advertisement
 Kombinasi gambar fail menunjukkan vaksin Dengvaxia yang dibangunkan Sanofi semasa program vaksinasi di sebuah sekolah asas di pinggir Manila. — Gambar AFP
MASIH BERISIKO: Kombinasi gambar fail menunjukkan vaksin Dengvaxia yang dibangunkan Sanofi semasa program vaksinasi di sebuah sekolah asas di pinggir Manila. — Gambar AFP

MANILA: Filipina semalam mengarahkan siasatan ke atas program imunisasi membabitkan lebih 730,000 kanak-kanak dengan vaksin denggi yang telah digantung susulan pengumuman syarikat ubat Perancis Sanofi bahawa ia boleh memburukkan penyakit itu dalam sesetengah kes.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Filipina mendakwa menerima maklumat bahawa tiga kanak-kanak yang telah divaksin dengan Dengvaxia pada April 2016 telah meninggal dunia, tetapi Sanofi menegaskan tiada kematian telah dilaporkan berhubung dengan program tersebut.

“Setakat yang kami ketahui dan sedari, tiada laporan kematian berkaitan dengan vaksinasi denggi,” kata Ruby Dizon, pengarah perubatan Sanofi Pasteur Philippines, pada sidang akhbar di Manila.

Minggu lepas, Jabatan Kesihatan Filipina menghentikan penggunaan Dengvaxia selepas Sanofi menyatakan ia harus disekat ketat susulan bukti bahawa ia boleh memburukkan penyakit tersebut dalam kalangan mereka yang tidak pernah terdedah kepada jangkitan sebelum ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Filipina, Sanofi menjelaskan mengenai penemuan baharu itu tetapi menegaskan penilaian keselamatan jangka masa panjang vaksin berkenaan menunjukkan kadar kemasukan ke hospital yang ketara lebih berkurangan akibat denggi dalam kalangan orang yang divaksin berusia sembilan tahun dan ke atas berbanding mereka yang tidak pernah divaksin.

Hampir 734,000 kanak-kanak berusia sembilan tahun dan ke atas di Filipina telah menerima satu dos vaksin tersebut dalam program yang menelan kos 3.5 bilion peso (AS$69.54 juta).

Jabatan Kehakiman semalam mengarahkan Biro Siasatan Nasional (NBI) untuk meneliti dakwaan bahaya kepada kesihatan awam dan sekiranya terbukti, memfailkan dakwaan sewajarnya kemudian.

Setakat ini tiada petanda pegawai kesihatan tempatan mengetahui sebarang risiko apabila mereka melaksanakan pemvaksinan tersebut.

Bagaimanapun, Pertubu-han Kesihatan Sedunia (WHO) berkata dalam kertas kerja Julai 2016 bahawa vaksinasi mungkin tidak efektif malah secara teorinya boleh meningkatkan risiko masa depan kemasukan ke hospital akibat penyakit denggi teruk dalam kalangan kelompok ‘seronegative’ ketika menerima vaksin pertama tanpa mengira usia.

Lembaga Sains Kesihatan Singapura berkata minggu lepas bahawa mereka mengesan risiko apabila vaksin tersebut diluluskan di sana pada Oktober 2016 dan bekerjasama dengan Sanofi untuk memperketat amaran risiko pada pembungkusan vaksin.

Menurut Sanofi di Manila, 19 lesen dianugerahkan untuk Dengvaxia dan ia telah dilancarkan di sebelas negara, namun hanya dua daripadanya iaitu Filipina dan Brazil melaksanakan program awam untuk menyampaikan vaksin tersebut.

Jurucakap Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata kelmarin kerajaan akan membawa ke muka pengadilan mereka yang bertanggungjawab ke atas program yang telah merisikokan ribuan nyawa.

“Kami akan menyiasat dengan teliti bagi mempertanggungjawabkan mereka berhubung penipuan kesihatan awam yang memalukan ini yang telah merisikokan ratusan ribu nyawa muda,” menurut Harry Roque.

Roque berkata, setakat ini tiada kes dilaporkan mengenai jangkitan denggi teruk sejak vaksin tersebut dilaksanakan dan menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang boleh menimbulkan kebimbangan tidak wajar.

Bagaimanapun kumpulan Volunteers Against Crime and Corruption berkata, ia menyiasat laporan bahawa tiga kanak-kanak di pulau utara Luzon telah mati sejak divaksin pada April 2016 dan menggambarkan situasi tersebut sebagai satu bencana.

“Kami telah menerima maklumat daripada penyelaras kami di tengah Luzon bahawa tiga kanak-kanak telah mati.

“Saya masih perlu mengesahkan nama mereka dan sekiranya mereka telah dikebumikan, kami meminta NBI untuk menjalankan penggalian semula kerana situasi ini amat serius,” kata pengerusi kumpulan Dante Jimenez kepada wartawan.

Denggi adalah penyakit tropika bawaan nyamuk dan walaupun tidaklah seserius malaria, ia menular pantas dan membunuh kira-kira 20,000 orang setahun serta menjangkiti ratusan juta lagi.

Tatkala Dengvaxia vaksin denggi pertama diluluskan, saintis sudahpun mengenal pasti ia tidak sempurna dan tidak melindungi seimbang terhadap empat jenis berbeza virus tersebut dalam ujian klinikal.

Analisis baharu daripada enam tahun data klinikal menunjukkan vaksin Dengvaxia memberi faedah perlindungan berpanjangan terhadap demam denggi dalam kalangan mereka yang pernah mengalami jangkitannya.

Namun bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti virus tersebut, lebih banyak kes penyakit teruk boleh berlaku dalam jangka masa panjang selepas vaksinasi sekiranya penerima mengalami jangkitan denggi selepas itu, menurut Sanofi. — Reuters

Advertisement