Anda di sini

Empat lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara, sebat

Advertisement

MIRI: Empat lelaki warga asing dalam empat kes berasingan masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara 12 hingga 15 bulan dan sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana masuk ke negeri ini secara haram serta tinggal melebihi tempoh sah dibenarkan.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Manjiri Jumain, 33, Romi, 41, dan Heru Gunawan, 19, semua dari Indonesia masing-masing didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, ketiga-tiga tertuduh sebagai seorang bukan warganegara Malaysia didapati masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah membenarkan mereka memasuki dan tinggal di negeri ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.30 malam, pada 17 November lalu di sebuah kedai makan di Jalan Melayu di sini.

Manakala dalam satu kes berasingan, Agus Kurniawan, 44, dari Indonesia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama kerana tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dibenarkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, Manjiri dihukum penjara 15 bulan dan enam sebatan, Romi dipenjara 15 bulan serta dua sebatan dan Heru dihukum penjara 12 bulan serta sekali sebatan. Manakala Agus dipenjara 12 bulan.

Hakim Steve Ritikos memerintahkan hukuman penjara ke atas keempat-empat tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan.

Advertisement