Anda di sini

Barang kes judi siber RM1.16 juta dilupus guna kaedah hijau

Advertisement
 Ramli (kanan) meneliti peralatan elektronik yang dilupuskan selepas sidang media tentang pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Kepayan, Kota Kinabalu semalam. — Gambar Bernama
DILUPUSKAN: Ramli (kanan) meneliti peralatan elektronik yang dilupuskan selepas sidang media tentang pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Kepayan, Kota Kinabalu semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Sebanyak 5,544 barang kes berkaitan perjudian siber di Kota Kinabalu bernilai kira-kira RM1,160,000 akan dilupuskan menggunakan kaedah hijau atau mesra alam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata semua barang kes itu dirampas antara 2006 hingga 2015 melibatkan 96 kertas siasatan yang telah selesai proses mahkamah.

“Barang-barang kes ini telah disenaraikan sebagai bahan buangan terjadual mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana mempunyai ciri-ciri kebolehnyalaan (boleh terbakar), boleh menghakis, boleh bertindak balas dan toksik kepada manusia dan alam sekitar.

“Ini sesuai dengan konsep ‘Go Green’ yang diamalkan oleh Polis Diraja Malaysia selama ini dan prosedur pelupusan selaras dengan pekeliling Ketua Pengarah Alam Sekitar,” katanya pada sidang akhbar mengenai pelupusan barang kes itu.

Ramli berkata proses pelupusan barang kes itu akan dilakukan di sebuah syarikat yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu T-Port Electrical dan Electronic Sdn Bhd di Shah Alam.

Katanya, penghantaran barang kes ke syarikat itu akan dilaksanakan oleh sebuah lagi syarikat yang berdaftar dengan JAS iaitu NCT Forwarding and Shipping Sdn Bhd.

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan perjudian, termasuk perjudian siber.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan dan Pembangunan syarikat NCT, Ng Vui Chuan (lelaki) berkata barang kes yang akan dihantar ke Shah Alam seberat kira-kira 10 tan.

Katanya, proses pelupusan di syarikat T-Port melibatkan pengasingan bahan yang boleh dikitar semula, manakala bahan toksik akan dilupuskan dengan kaedah mesra alam. — Bernama

Advertisement