Anda di sini

Meghan Markle sedia tinggalkan lakonan demi Putera Harry

__alt__

MEGHAN Markle berkata bidang lakonan akan diletakkan di belakang apabila dia mengahwini Putera Harry nanti, mengikuti contoh ikon skrin Grace Kelly yang meninggalkan Hollywood untuk mengahwini anggota kerabat diraja.

 Pelakon berusia 36 tahun itu sudah membintangi drama undang-undang ‘Suits’ sejak 2011, tetapi kemungkinan meninggalkan banyak minat di luar apabila dia menyertai kerabat diraja British ekoran pengumuman tentang pertunangan pasangan tersebut, menurut pemerhati.

 Markle mengesahkan dalam satu wawancara dengan BBC bahawa dia akan berhenti berlakon dan akan memberi kebanyakan tumpuan kepada kempen yang penting bagi dirinya.

 “Saya tidak melihatnya sebagai meninggalkan apa-apa. Saya melihatnya sebagai satu perubahan. Ia adalah lembaran baharu,” katanya.

 Markle dan Harry, 33, akan berkahwin pada musim bunga pada tahun depan, 62 tahun selepas Kelly, ikon layar perak, meninggalkan kariernya yang gilang-gemilang untuk mengahwini Putera Rainier III dari Monaco.

 Bagaimanapun pakar penjenamaan Hollywood, Jeetendr Sehdev, berkata Markle bukan dalam liga yang sama dengan pelakon yang memenangi anugerah Oscar dan membintangi filem-filem aksi arahan Hitchcock pada tahun 1950an, ‘Dial M for Murder’, ‘Rear Window’ dan ‘To Catch a Thief’.

 “Rakyat Amerika yang pernah mendengar tentang Meghan pasti mengingatinya sebagai seorang pelakon TV yang bekerja dan bukannya seorang selebriti atau bintang Hollywood,” kata Sehdev, penulis buku laris ‘The Kim Kardashian Principle’, kepada AFP.

 Walau bagaimanapun, dia menambah, kerabat diraja campuran pertama di Britain boleh memberi inspirasi kepada industri TV di Britain untuk mewujudkan watak utama yang lebih banyak bagi pelakon lain yang bukan orang putih.

 “Meghan Markle adalah wajah puteri moden dan tiada sebab kenapa dia tidak dapat terus bekerja dalam TV selepas dia berkahwin.

 Istana kemungkinan ada kata putus mengenai sebarang watak atau pilihan kariernya pada masa depan.

” - Pembaharuan keterlaluan? -

Namun penulis diraja Catriona Harve-Jenner berkata dalam satu komentari bagi majalah gaya hidup British, Cosmopolitan, bahawa Markle telah membuat keputusan yang betul untuk melupakan citacitanya dalam bidang lakonan.

 “Menjadi anggota kanan dalam kerabat diraja adalah satu tugasan sepenuh masa, dan ia memerlukan mereka yang melakukannya untuk menjadi penaung amal kebajikan, mewakili UK pada skala antarabangsa, dan umumnya memelihara tradisi kerabat diraja,” kata Harve-Jenner.

 “Bagaimanakah dia akan mengimbangi semua itu dengan watak lakonan sepenuh masa dalam ‘Suits’?” Markle akan menjadi warga Amerika pertama yang dialu-alukan ke dalam kerabat diraja sejak Wallis Simpson – juga seorang janda – tetapi mungkin tidak akan menjadi seorang puteri.

 Apa yang jauh lebih berkemungkinan, kata pakar, ialah pasangan itu akan menjadi ‘duke’ dan ‘duchess’, seperti William dan Kate.

 Selain berlakon sebagai paralegal Rachel Zane dalam ‘Suits’, Markle adalah seorang usahawan, aktivis, penulis blog dan pereka fesyen, dan mungkin dijangka akan meninggalkan kebanyakan bidang tersebut juga, untuk memberi tumpuan kepada aktiviti diraja.

 Aktres itu nampak bersedia untuk mengurangkan beban kerjanya, selepas dia menutup laman sesawang gaya hidupnya ‘The Tig’ beberapa bulan lalu.

 Sarika Bose, seorang pensyarah dalam kesusasteraan Victoria di Universiti British Columbia dan seorang pakar diraja, berkata masa sudah berubah sejak Kelly terpaksa memilih di antara karier dengan kehidupan berkeluarga.

 Namun dia menambah, mempunyai seorang aktres yang bekerja di dalam keluarga mungkin satu pembaharuan moden yang keterlaluan bagi takhta British, yang bermula dengan penggabungan England dan Scotland pada awal abad ke-18.

 - ‘Sangat berkarisma’ -

“Walaupun masyarakat British dan monarki sudah banyak berubah sejak beberapa dekad lalu, orang mungkin masih ada andaian yang dibuat mengenai Cik Markle yang digabungkan dengan bidang lakonannya, kehidupannya sebagai seorang selebriti dan peranan awamnya sebagai seorang anggota kerabat diraja,” katanya kepada AFP.

 Bose berkata dia menjangka Markle akan mengikuti anggota lain dalam keluarga diraja dengan melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan.

 “Lama sebelum dia mengenali Putera Harry, Markle sudah pun mempamerkan komitmen dan minat yang serius kepada inisiatif keadilan sosial, sebagai seorang Duta Global World Vision dan seorang penyokong kepimpinan dan penyertaan politik bagi wanita menerusi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu,” katanya.

 “Aktiviti ini memberinya pengalaman dan kewibawaan sebagai penaung kempen apabila dia menjadi anggota kerabat diraja nanti.

” Anak perempuan kepada ibu berbangsa Afrika Amerika dan bapa Amerika yang berketurunan Belanda dan Ireland, ibu bapa Markle bercerai ketika dia berusia enam tahun.

 Dia mempunyai adikadik tiri di sebelah bapanya, dan membesar di Los Angeles, dan belajar di sebuah sekolah perempuan Roman Katolik di sana.

 Selepas dia lulus dari Sekolah Komunikasi Universiti Northwestern pada 2003, Markle muncul dalam lebih 12 program TV termasuk ‘CSI: NY’, ‘Knight Rider’ dan ‘Fringe’.

 Dia menjadi lebih berprofil tinggi apabila mula muncul dalam ‘Suits dan mendapat peranan kecil dalam filem ‘Horrible Bosses’ (2011).

 Clarence Moye, pengarang TV di Awards Daily, menggambarkan Markle sebagai seorang aktres yang “sangat berkarisma” dan berkata dia kecewa kerana dia seakan-akan bersedia untuk tunduk kepada tradisi.

 “Ia pasti menarik untuk melihat seorang wanita moden meneruskan kariernya … tetapi ia nampaknya bukan hala tujunya,” katanya.

 – AFP